Perak perkenal tarikan baharu ganti MAPS

Kar Hing (kanan) meninjau persiapan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Peringkat Negeri Perak di Eco Park, Taman Botani hari ini.
Kar Hing (kanan) meninjau persiapan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Peringkat Negeri Perak di Eco Park, Taman Botani hari ini.
A
A
A

GOPENG - Kerajaan Perak akan memperkenalkan beberapa tarikan baharu menggantikan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang ditutup minggu lalu.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, antara tarikan tersebut ialah Ipoh Lights and Sounds Show di Padang Ipoh, Perpustakaan Digital dan sebagainya.

Menurutnya, tarikan-tarikan baharu itu dijangka siap dan boleh dikunjungi orang ramai mulai tahun ini.

"Secara makro memang kita ada perancangan lain. Sudah tentu MAPS salah satu tarikan pelancong tetapi ditutup dan mungkin ada kesan (kehadiran pelancong).

"Tapi kita akan cuba wujudkan beberapa pelan atau tempat tarikan baharu di sekitar Ipoh dan juga di luar Ipoh yang boleh mengisi kekosongan akibat penutupan MAPS," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Peringkat Negeri Perak di Eco Park, Taman Botani di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: MAPS ditutup berkuat kuasa hari ini

MAPS tutup: 265 Pekerja diberi pampasan

Kar Hing berkata, selain penutupan MAPS, penularan koronavirus juga antara faktor yang dijangka menyumbang kemerosotan kehadiran pelancong ke Perak.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain mengenai persiapan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Peringkat Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung 6 Februari nanti, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat.

Katanya, langkah-langkah keselamatan ketat diambil dengan menempatkan beberapa agensi keselamatan seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di lokasi kejadian.

Sementara itu, Kar Hing berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk hadir ke majlis tersebut berikutan kes koronavirus kerana pihaknya sudah pun mendapatkan nasihat Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2020 Peringkat Negeri Perak dijangka dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.