FAM sedia terima Palestin pilih Malaysia tuan rumah Kelayakan Piala Dunia
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyatakan badan induk itu sentiasa bersedia menerima hasrat Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) untuk memilih negara ini sebagai gelanggang tuan rumah pada masa depan.
Malah menurut Hamidin, Presiden PFA, Mejar Jeneral Jibril Ragout memberikan bayangan akan membawa semula anak buah Makram Daboub untuk perlawanan seterusnya Kumpulan B Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia.
"Di FAM dan Malaysia, saya percaya kerajaan bersedia untuk menerima pasukan bola sepak Palestin sekiranya Malaysia sebagai venue tuan rumah mereka," katanya.
Mengenai perlawanan dengan pasukan Palestin selepas ini, menurut Hamidin kebiasaannya Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan menentang Palestin.
"Kebiasaannya kita akan adakan perlawanan persahabatan menentang Palestin, seperti tahun lalu Pestabola Merdeka tetapi disebabkan konflik di Palestin mereka tidak dapat hadir.
"Insya-ALLAH, kita akan sentiasa bekerjasama dengan presiden dan PFA," katanya pada Selasa.
Mengenai cadangan perlawanan persahabatan menentang Palestin November depan, Hamidin berkata: Mungkin, tapi Palestin sudah ada jadual sampai tahun depan kerana mereka layak pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026."
PFA sebelum ini memilih Malaysia sebagai gelanggang neutral pasukan Palestin untuk menghadapi kempen Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas negara itu terjejas teruk berikutan konflik dengan Israel.
Anak buah Daboub yang bermula cemerlang mengikat Korea Selatan 1-1 di Seoul sebelum ini akur kehebatan finalis Piala Asia, Jordan apabila tewas 1-3 di Cheras.
Selain Korea Selatan, Jordan, skuad kendalian Dabboub diundi dalam Kumpulan B bersama Iraq, Kuwait dan Oman.