Pengunjung borong buku latih tubi 50 sen

Rohana bersama dua anaknya menunjukkan buku latih tubi yang diborong keluarganya pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf di Shah Alam semalam.
Rohana bersama dua anaknya menunjukkan buku latih tubi yang diborong keluarganya pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf di Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramai pengunjung merebut peluang memborong buku latih tubi yang dijual cuma 50 sen pada hari ketiga Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf di Kompleks Karangkraf di sini semalam.

Jualan gudang yang menawarkan sebanyak 200,000 buku latih tubi terbitan Bestari Karangkraf itu berlangsung sejak Jumaat lalu dan akan berakhir 9 Februari ini.

Guru dari Puchong, Rohana Ithnin, 41, berkata, dia membeli lima buku latihan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebagai rujukan kepada anaknya yang akan mengambil peperiksaan itu pada tahun ini.

"Buku latihan ini dilelong dengan harga sangat murah, jadi saya rebut peluang beli satu set buku latihan ini untuk anak yang ambil PT3 dan tinggal di asrama.

"Nanti bolehlah anak gunakan buku latihan ini untuk ulangkaji pelajaran," katanya yang datang bersama suami dan tiga anak.

Rohana berkata, harga semua bahan bacaan yang dijual dengan murah pada jualan gudang itu membolehkan keluarganya membeli banyak buku sebagai sumber bacaan mereka pada masa terluang.

Pelbagai bahan bacaan yang dijual pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf di Shah Alam yang berlangsung sehingga 9 Februari ini.
Pelbagai bahan bacaan yang dijual pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf di Shah Alam yang berlangsung sehingga 9 Februari ini.

Penyelia di sebuah tapak pembinaan dari Cheras, Hamzah Arshad pula berkata, harga tidak masuk akal buku latih tubi mendorongnya membeli lima buah buku latih tubi PT3 buat anaknya yang berusia 15 tahun dan bakal mengambil peperiksaan itu tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Cuma 50 sen saja untuk sebuah buku, mana nak dapat tempat lain? Jadi semestinya saya beli buku ini kerana kandungannya juga bagus.

"Selain itu, saya juga beli komik untuk latih anak supaya minat membaca," katanya yang datang bersama isteri dan enam anak berusia antara 2 hingga 15 tahun.

Hamzah Arshad
Hamzah Arshad

Sementara itu, pelajar dari Hulu Langat, Qurratu Ain Thaqifah Hamzah, 14, berkata, dia memborong kesemua subjek buku latih tubi PT3 iaitu Sains, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik.

"Pertama kali saya beli buku latih tubi harga 50 sen macam ni. Kalau tengok harga asalnya RM6.90 sebuah, jadi kalau dikira memang sangat jimat beli di jualan gudang ni.

"Buku latih tubi ini pun berkualiti dan paling penting saya dapat latih diri jawab soalan sebagai persiapan awal hadapi PT3 tahun depan. Selain itu, banyak lagi buku dijual sangat murah termasuk novel yang cuma RM5 sebuah," katanya.

Qurratu Ain Thaqifah menunjukkan buku latih tubi PT3 yang dibeli.
Qurratu Ain Thaqifah menunjukkan buku latih tubi PT3 yang dibeli.

Eksekutif akaun dari Cheras, Norkarmila Kassim, 27, pula berkata, orang ramai perlu mengambil kesempatan untuk menyerbu jualan gudang itu yang berbaki seminggu kerana semua bahan bacaan termasuk majalah dijual pada harga sangat rendah.

"Kalau tak minat baca buku, boleh beli majalah. Macam saya sendiri, saya suka beli majalah. Saya pelanggan setia majalah Rasa dan kadang-kadang tak sempat nak beli, jadi di sinilah saya cari majalah keluaran-keluaran lepas.

"Saya memang pengunjung setiap kali diadakan jualan gudang ini. Rambang mata tengok harga majalah, novel, al-Quran dan buku Islamik dijual dengan murah.

"Lebih menarik, kalau kita nak buat wakaf al-Quran pun boleh sebab ia ditawarkan sepanjang jualan gudang ni," katanya.

Norkarmila Kassim
Norkarmila Kassim