Yakin kesiapsiagaan petugas kita

No Image Caption
A
A
A

PUJIAN yang tinggi dan sokongan yang kuat perlu kita berikan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya pasukan petugas barisan hadapan yang telah membuat persiapan terbaik menghadapi penularan wabak koronavirus sejak ia mula dikesan di Wuhan, China pada 31 Disember 2019 lalu.

Tambahan pula kini seluruh dunia meningkatkan lagi langkah kesiapsiagaan tertinggi untuk menghadapi wabak itu selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan ia sebagai darurat kesihatan awam.

Menurut WHO, sebab utama pengisytiharan itu bukan kerana situasi di China tetapi kerana terdapat potensi yang tinggi untuk virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

Perkembangan terkini di China menyaksikan angka korban sudah meningkat melebihi 300 orang dengan lebih 14,000 kes jangkitan telah disahkan dengan di Malaysia lapan kes positif virus telah disahkan.

Sebagai rakyat dan warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan dalam mengekang virus itu daripada merebak kerana negara kita bukanlah tergolong dalam negara yang mempunyai sistem kesihatan lemah dan tidak mampu menghadapi ancaman wabak itu.

Ia dapat dibuktikan melalui Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) yang meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga di Asia dalam mengendalikan wabak virus selepas Thailand dan Korea Selatan masing-masing di kedudukan pertama dan kedua.

Merujuk kepada indeks GHS itu, Malaysia dengan skor yang diterima iaitu 62.2 peratus (kategori lebih bersedia) berada di kedudukan 18 daripada 195 negara di peringkat global yang menyaksikan kita mengatasi Belgium, Portugal, Jepun, Ireland malah negara jiran Singapura dan Indonesia.

Pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu perlu dibanggakan kerana ia atas keupayaan Malaysia untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas kepada wabak dan juga sistem kesihatan menyeluruh, pematuhan norma antarabangsa dan pengurusan risiko.

Artikel Berkaitan:

Justeru, dalam menguruskan virus koronavirus itu, kerisauan rakyat seperti kerajaan lambat bertindak, fasiliti kesihatan dan rawatan tidak lengkap atau tiada tenaga pakar dalam menghadapinya perlu dibuang jauh.

Dalam menghadapi penularan virus itu, titah nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu kita jadikan pedoman apabila Seri Paduka mengingatkan rakyat agar berganding bahu dengan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

Para petugas kesihatan sudah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi untuk mendepani koronavirus kerana ia bukanlah kali pertama wabak yang melanda dunia kita hadapi dan menguruskan kes-kes positif yang dikesan di dalam negara.

Kita sudah mempunyai pengalaman antaranya pengurusan wabak virus Nipah pada 1999, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002; Influenza A (H1N1) pada 2009 dan sindrom pernafasan Asia Barat (MERS-Cov) pada 2014.

Sekadar contoh, misalnya selepas tiga kes awal positif koronavirus disahkan di negara ini, KKM terus mengaktifkan Pasukan Bertindak Cepat (RRT) dan Pasukan Penilaian Cepat (RAT) yang bertugas menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan, menambah 12 lagi mesin pengimbas suhu badan di pintu masuk negara malah kerajaan baru-baru ini turut menggantung sementara semua kemudahan imigresen termasuk kemudahan tanpa visa kepada warga China dari bandar Wuhan, wilayah Hubei dan sekitarnya.

Kerajaan dan pasukan kesihatan sudah melaksanakan segala yang terdaya demi keselamatan kita, menjadi tanggungjawab kita pula untuk mematuhi langkah-langkah penjagaan kesihatan yang disyorkan oleh KKM serta tidak menyebarkan berita dan informasi tidak benar (palsu) mengenai koronavirus.

*Mohd Zaini Othman ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM