Masalah kewangan KDA FC: Sanusi didakwa cuba tutup kelemahan sendiri

Shaiful Hazizy. Laporan Sinar Harian
Shaiful Hazizy. Laporan Sinar Harian
A
A
A

UMNO Kedah mendakwa kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempertikaikan sistem bolasepak negara sebagai satu usaha 'mengubah tiang gol' bagi menutupi kelemahan sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kegemilangan dan kehebatan bola sepak Kedah yang menjadi sukan kegemaran rakyat di negeri ini bakal terkubur jika tiada sebarang tindakan diambil untuk membantu masalah kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Menurutnya, UMNO Kedah juga kecewa dengan bekas-bekas lagenda Hijau Kuning yang menganggotai kerajaan negeri hari ini yang didakwa hanya berpeluk tubuh sahaja.

"UMNO Kedah mengecam sekeras-kerasnya sikap Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang dilihat mengambil sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab.

"Justeru, UMNO Kedah menyeru agar semua pencinta bola sepak negeri, kelab-kelab penyokong dan anak-anak muda ini memohon agar Menteri Besar segera masuk campur bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang semakin meruncing," katanya pada Selasa.

Jelas Shaiful Hazizy, pihaknya percaya keputusan menswastakan bola sepak negeri tanpa strategi perniagaan yang berfokus dan pendekatan yang betul sudah tentunya memberi kesan sangat besar terhadap pasukan utama yang sedia ada.

Menurutnya, UMNO Kedah sendiri sangsi apakah fungsi Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sendiri sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat tanpa penglibatan mana-mana anak syarikat kerajaan negeri.

"Persoalannya kenapa Selangor yang turut mengikut format Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang gangguan permasalahan kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Selangor misalnya mempunyai penglibatan anak syarikat kerajaan negeri yang mampu membantu walaupun tidak mempunyai pegangan seratus peratus dalam syarikat," ujarnya.

Tambahnya, UMNO Kedah berpandangan kejayaan dan kelancaran syarikat lain di negeri-negeri khasnya Selangor haruslah dicontohi dan dijadikan panduan dalam menguruskan kelab bola sepak di negeri ini.

Pada 6 September lalu, Sinar Harian melaporkan masalah kewangan dipercayai menjadi antara punca pemain KDA FC tidak turun berlatih.

Menurut sumber, hanya ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan staf kelab dilihat turun ke padang latihan, namun para pemain tidak kelihatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!