Siti Nurhaliza kongsi pengalaman, cabaran harungi dunia bisnes 'online'
CYBERJAYA - Masyarakat masa kini terutama anak muda semakin aktif menjana pendapatan melalui pelbagai platform media sosial.
Bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang juga merupakan seorang usahawan, beliau tidak pernah berhenti menuntut dan berkongsi ilmu bagi menambah baik kandungan di platform media sosial, termasuk memahami keupayaan media sosial dalam aspek pemasaran.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di karnival pelajar Universiti Malaya kampus Cyberjaya pada Isnin.
"Walaupun saya bukan arif dalam perniagaan, tetapi saya dibantu mereka yang profesional dan tip yang boleh saya kongsi berdasarkan pengalaman.
"Sebagai seorang yang dilantik dalam kepakaran industri, saya rasa pelajaran ini akan berterusan sampai bila-bila.
"Alhamdulillah, hari ini saya berkongsi lebih kepada bisnes, macam mana Simply Siti terus dapat berkembang, macam mana saya sebagai pengasas produk, dan saya juga mengharungi cabaran dalam bisnes online.
"Macam mana saya buat TikTok, tip yang boleh saya share dengan pelajar... itu antara yang kita bincangkan hari ini," kata Siti Nurhaliza.
Beliau menambah kesedaran pengguna dalam teknologi semakin meningkat sehingga pembelian dalam talian menjadi satu perkara asas dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, penyanyi berusia 45 tahun ini menitipkan pesan kepada masyarakat, terutama para peminat, untuk memaksimumkan penggunaan media sosial ke arah yang tepat.
"Kita kena sentiasa berhati-hati, terutamanya dengan kemajuan AI, ia boleh beri impak negatif sekiranya kita menyalahgunakannya, especially orang boleh guna wajah saya dalam promosi tidak baik, kadang-kadang bukan dari produk yang saya jual.
"Mereka tertipu sebab suara pun boleh AI dah sekarang. Scammer sekarang banyak yang meyakinkan dengan buat panggilan telefon, guna video saya, jadi mereka yang mengikuti saya tahu itu bukan promosi produk tersebut, tapi mereka duduk di pedalaman, berkemungkinan mereka boleh terpengaruh dengan tawaran yang dijalankan," katanya.