LPP galak anak muda sertai penternakan udang kara
PENDANG - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menggalakkan golongan anak muda menyertai bidang penternakan udang kara kerana ia berpotensi besar dan mampu memberi pulangan lumayan.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, industri udang kara juga mendapat permintaan tinggi untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Sebanyak empat tan dapat dihasilkan sebulan dan ia akan dieksport ke beberapa buah negara seperti Singapura, Australia dan Hong Kong.
"Bayangkan, Singapura mencapai 20 tan, ada permintaan banyak dari Australia dan Hong Kong, yang mana pasarannya bagus untuk usahawan di luar sana," katanya.
Beliau berkata sedemikian selepas lawatan ke Ladang Udang Kara Air Tawar Arbaah di Kampung Durian di sini, pada Isnin.
Mahfuz berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM1 billion untuk projek-projek berkaitan agro pertanian, penternakan dan sebagainya untuk menambah pendapatan komuniti.
Katanya, setiap komuniti akan diberikan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk projek agro pertanian.
Sehubungan itu, Mahfuz berharap komuniti mengambil peluang melaksanakan projek udang kara di kawasan mereka.
"Kita hendak mencari di kalangan usahawan-usahawan muda yang berminat untuk diberikan pendedahan dan kursus dari awal sampai habis bagaimana hendak menternak udang kara," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mahfuz berkata, kolam ternakan diusahakan usahawan, Muhammad Firdaus Osman di Kampung Durian, Pendang terbabit adalah penternakan udang kara yang terbesar di Malaysia.
"Beliau bukan hanya menternak, tetapi juga menghasilkan produk-produk seperti udang kara perap dan kerepek udang kara," katanya.