Nafas bantu sekolah jana pendapatan

Phahrolrazi (dua dari kiri) meninjau projek akuaponik yang diusahakan pelajar MyGreenTeam SMK Tajar hari ini.
Phahrolrazi (dua dari kiri) meninjau projek akuaponik yang diusahakan pelajar MyGreenTeam SMK Tajar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membantu 80 sekolah di seluruh negara menjana pendapatan menerusi projek pertanian bawah Yayasan Pelajaran Peladang (YPP) sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, antaranya projek MyGreenTeam dengan pembiayaan RM10,000 yang disalurkan kepada kelab pertanian sekolah untuk membangunkan projek pertanian dikendalikan pelajar.

Menurutnya, konsep ini bertepatan dengan usaha kerajaan mahu melahirkan usahawan tani muda selain memberi hasil dan keuntungan kepada pihak sekolah.

“Semua pertubuhan peladang menyumbang dua peratus daripada keuntungan kepada YPP, diagihkan kepada sekolah menengah yang mengajar subjek Sains Pertanian dan menubuhkan kelab pertanian sekolah untuk projek tanaman kontan jangka pendek,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Phahrolrazi (tiga dari kanan) bergambar bersama wakil SMK Tajar dan tiga syarikat yang menandatangani perjanjian persefahaman untuk Projek Sawah Padi Perintis MyGreenTeam di SMK Tajar hari ini.
Phahrolrazi (tiga dari kanan) bergambar bersama wakil SMK Tajar dan tiga syarikat yang menandatangani perjanjian persefahaman untuk Projek Sawah Padi Perintis MyGreenTeam di SMK Tajar hari ini.

Sebelum itu, Phahrolrazi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tajar dengan tiga syarikat iaitu Advansia Sdn Bhd, Giganti Solutions Sdn Bhd serta Vivendi Asset Sdn Bhd untuk Projek Sawah Padi Perintis MyGreenTeam.

Phahrolrazi berkata, selain menjana pendapatan, projek ini diharap dapat memupuk minat pelajar dalam sektor pertanian lebih awal susulan ia bukan pilihan utama dalam karier generasi muda.

Artikel Berkaitan:

“Sekolah ini ada sawah dalam kawasan sekolah seluas lebih satu hektar yang selama ini disewakan kepada pihak luar. Jadi projek perintis ini dapat lahirkan anak muda yang tahu ilmu tanaman padi dari awal hingga tuaian,” katanya.

Menurutnya, SMK Tajar melaksanakan dua projek iaitu sawah padi dan akuaponik dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena.