Nanas MD2 jana pendapatan sampingan peneroka Felda Keratong 9

Seramai 444 ahli koperasi terlibat dalam projek Program Pembangunan Peneroka (PPP)

A
A
A

No Image Caption

Program Pembangunan Peneroka (PPP) adalah inisiatif kerajaan bagi membantu warga peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mendapatkan pendapatan tambahan dan peluang pekerjaan menerusi aktiviti bukan sawit dan getah.

Sejak diperkenalkan, ramai warga Felda dalam kalangan generasi baharu Keratong 9 dan rancangan berhampiran terbabit secara langsung dalam pelaksanaan projek, termasuk sebagai pekerja. Seramai 444 ahli koperasi Felda Keratong 9 terlibat dalam projek Program Pembangunan Peneroka (PPP) sejak ianya dilancarkan.

Pengerusi Koperasi Serbaguna Keratong 9, Mat Fiah Yahaya berkata, program PPP pada peringkat awal program PPP diperkenalkan mereka sudah pun mempunyai kerjasama dengan koperasi dan wakil Syarikat Aqina Fruits Sdn Bhd untuk memasarkan produk nanas MD2 keluaran Felda Keratong 9.

MAT FIAH
MAT FIAH

Menurutnya, apabila koperasi diberi taklimat dan diperkenalkan dengan syarikat Aqina mereka membawa kami melawat projek- projek Aqina yang telah berjaya.

“Kami diberi penjelasan berkenaan dengan program tanaman, bagaimana keberhasilannya dan juga faedah kepada koperasi untuk keseluruhan ahlinya.

“Bermula dari situlah kita melihat projek ini mampu menjana pendapatan tambahan kepada peneroka,”katanya

Tambahnya,ahli lembaga koperasi terdiri daripada exco Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) sentiasa mengkaji setiap kelemahan yang ada untuk diperbaiki bagi memastikan pengeluaran tanaman berjalan lancar dan terus mengeluarkan hasil.

Mat Fiah berkata, peluang berkenaan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi keluarga peneroka.

Projek nanas MD2 diiktiraf

Pengerusi Gerakan Pasukan Wanita (GPW) Keratong 9, Sariah Ahmad, berbangga kerana projek tanaman nanas MD2 yang diusahakan kini diiktiraf sebagai projek paling berjaya di Felda berkenaan.

SARIAH
SARIAH

Menurut Sariah, meskipun agak sukar pada permulaannya namun berkat usaha gigihnya dibantu anak-anak generasi kedua, akhirnya projek nenas MD2 membuahkan hasil yang dapat dinikmati bersama.

“Peranan GPW adalah untuk mempelawa anak-anak generasi kedua bekerja di ladang nanas dan ternyata usaha itu berjaya.

“Buat apa cari kerja tempat lain sedangkan di Felda ini ada peluang pekerjaan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP),” katanya.

Jelasnya, selain dapat memanfaatkan tanah terbiar, proses penanaman pokok nenas juga agak mudah kerana segala aktiviti dipantau oleh GPW.

“Mula-mula tanah digemburkan, selepas itu mereka pasang plastik bertebuk, bila hendak tanam benih kami akan hadir ke ladang untuk membantu bagi memastikan kaedah penanamannya betul,” ujarnya.

Tingkat pendapatan isi rumah

Bagi Pengurus Operator PPP Nanas Keratong 9, Fazidatun Nisak Ismail pula berkata, antara matlamat utama projek ini diadakan adalah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, ahli koperasi dengan mempelbagaikan bidang pertanian.

“Sebelum ini, koperasi lebih memfokuskan kepada tanaman sawit, jadi tanaman nanas ini adalah yang terbaharu.

“Sebagai operator projek saya mahu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan di ladang serupa dengan yang telah kita amalkan.

Jelasnya, ini termasuklah memastikan mutu dan kualiti nanas yang dipetik nanti sama dengan keluaran ladang- ladang lain supaya dapat diterima oleh pasaran luar.

“Kita menjangkakan pendapatan untuk isi rumah menerusi dividen lebih kurang minimum RM1,000 untuk satu ketua keluarga dan kalau untuk nanas ini, kemungkinan pendapatan pertama tuaiannya adalah lebih kurang pada bulan ke-14 dan ke atas,”ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Projek PPP Nanas Felda Keratong 9, Mohd Shahril Mohd Shukri berpendapat sebagai anak peneroka, beliau ingin memberi khidmat kepada Felda.

MOHD SHAHRIL
MOHD SHAHRIL

“Syukur saya diberi peluang untuk menguruskan ladang di sini sebagai penolong pengurus.

“Sebelum saya bekerja mengurus tapak tanaman ini, saya bekerja di Kuantan dan Raub dan apabila diberi peluang ini, saya balik semula ke kampung untuk berkhidmat.

“Menerusi projek PPP ini juga terdapat 6 orang generasi baharu Felda telah berjaya mendapatkan pekerjaan,”jelasnya.