Koronavirus: Filipina catat kematian pertama luar China

Rakyat Filipina sedang membeli topeng penutup muka. -Foto AFP
Rakyat Filipina sedang membeli topeng penutup muka. -Foto AFP
A
A
A

MANILA - Filipina melaporkan kes kematian pertama koronavirus di luar China yang telah meragut lebih 300 nyawa dan merebak di lebih 20 negara seluruh dunia.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Manila, Rabindra Abeyasinghe berkata, mangsa ialah rakyat China dari bandar Wuhan yang menjadi pusat penyebaran wabak membawa maut itu.

"Pesakit tersebut meninggal dunia di sebuah hospital di Manila dan dia tiba di negara itu bersama seorang wanita dari China yang juga disahkan positif koronavirus tersebut," kata Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque.

Menurutnya, wanita tersebut adalah kes pertama koronavirus yang dilaporkan di Filipina dan kini sedang dirawat di hospital.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Manila turut mengumumkan ia akan menyekat kemasukan rakyat China mengikut jejak langkah Amerika Syarikat, Australia dan Israel.

Ketika ini, Mongolia, Rusia dan Nepal juga bertindak menutup sempadan mereka manakala Papua New Guinea melarang kemasukan mana-mana individu daripada pelabuhan atau lapangan terbang dari seluruh Asia.

Angka kematian koronavirus telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 304 orang dengan 45 kematian baharu dilaporkan semalam.

Selain itu, kira-kira 2,590 kes jangkitan baharu direkodkan di China sekali gus menjadikan jumlah kes mencecah hampir 14,500 kes. - Agensi

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Kematian di China meningkat kepada 304