AirAsia nafi dakwaan salah laku babitkan Airbus

AirAsia - Foto Bernama
AirAsia - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – AirAsia menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam tuduhan dan salah laku yang dikaitkan dengan siasatan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) membabitkan Airbus.

AirAsia dalam satu kenyataan malam tadi berkata, mereka turut menafikan dakwaan salah laku berhubung penajaan sebuah pasukan sukan.

Ia susulan daripada sebuah artikel bertajuk 'AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say' yang merujuk kepada perjanjian tertentu oleh AirAsia.

“Perjanjian pembelian pesawat tidak pernah dibuat berdasarkan keputusan individu sahaja, tetapi sebaliknya melalui penilaian yang teliti, perbincangan dan keputusan kolektif ahli lembaga selepas mengambil kira spesifikasi teknikal, prestasi penerbangan pesawat dan perbelanjaan operasi.

“Sebagai pelanggan Airbus sejak tahun 2005, AirAsia tidak pernah membuat keputusan pembelian berdasarkan kepada penajaan Airbus.

“Kami juga ingin menekankan bahawa semua rundingan dan urusan yang membawa kepada penandatangan perjanjian pembelian pesawat telah dilakukan secara langsung dengan Airbus tanpa penglibatan pihak ketiga atau mana-mana perantara,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, artikel terbitan sebuah portal berita tempatan itu mendakwa AirAsia terlibat dalam menerima rasuah daripada Airbus.

“Kami akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dalam perkara ini dan akan meneliti apa sahaja bentuk tuduhan melibatkan AirAsia atau mana-mana eksekutif.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa yang berkaitan jika diperlukan,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan Airbus dan dua eksekutif AirAsia.

Beliau berkata, SPRM juga telah menghubungi pihak berkuasa United Kingdom (UK) berhubung perkara itu.