Azmin ketuai lawatan kerja ke Jepun, terokai kerjasama baharu

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bagi lawatan kerja enam hari ke Jepun mulai 1 hingga 6 Februari ini.

MEA menerusi kenyataan hari ini berkata, delegasi itu akan menghadiri beberapa acara, lawatan tapak, taklimat serta mesyuarat dengan pegawai kanan Jepun untuk meneroka bidang kerjasama baharu di samping memperkukuh hubungan ekonomi di antara Malaysia dengan Jepun dalam sektor pendidikan, pertanian, infrastruktur, pertahanan selain usaha Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Semasa lawatan berkenaan, Mohamed Azmin akan menemui Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Dr Hiroto Izumi, bertujuan membincangkan kemajuan kerjasama sedia ada dan mengenal pasti cara terbaik untuk bergerak maju dalam bidang kerjasama baharu bagi kedua-dua negara.

Mohamed Azmin turut dijadualkan bertemu rakan sejawatannya daripada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri selain Kementerian Luar serta Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan negara itu bertujuan mengukuhkan lagi perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia akan melawat lokasi pembinaan kereta api Kanazawa, yang mengetengahkan keupayaan kejuruteraan dan pembangunan berorientasikan transit Jepun.

Mereka juga akan ke Pertubuhan Penyelidikan Pertanian dan Makanan Kebangsaan untuk melihat teknologi yang boleh dilaksanakan di Malaysia bagi usaha perladangan pintar dan kejituan pertanian ke arah memastikan jaminan dan kemampanan makanan untuk negara.

Kumpulan itu juga akan berkunjung ke pameran teknologi tinggi Mitsubishi Electric yang menonjolkan kecanggihan Jepun dalam IR4.0.

“Ini merupakan peluang berharga untuk mendapatkan perspektif baharu memandangkan kementerian ini sedang menggariskan Rangka Kerja Dasar Nasional bagi IR4.0 sebagai rangka kerja menyeluruh untuk memacu koheren dasar dan hala tuju strategik,” menurut MEA.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pembangunan industri, Mohamed Azmin akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman di antara Halal Development Corporation Bhd dengan Acrosx Japan Incorporated bertujuan membangunkan dan menggariskan sebuah rangka kerja untuk kerjasama strategik.

“Ini akan mewujudkan landskap perniagaan yang rancak dan mampan bagi segmen pengguna mesra muslim di Jepun.

“Selain itu, ia juga akan membuka peluang baharu untuk perniagaan Malaysia menyertai ekonomi halal negara itu yang pantas berkembang,” menurut MEA.

Pada 2018, nilai eksport halal Malaysia ke Jepun dianggarkan pada RM2.5 bilion.

Mohamed Azmin turut akan menjadi tuan rumah bagi sesi perjumpaan dengan komuniti Malaysia yang berpangkalan di Jepun dengan acara itu dijadualkan berlangsung di Kedutaan Malaysia.- Bernama