Tumpuan program 'Info on Wheels' kepada isu koronavirus tepat

A
A
A

SEPANG - Pengisian program 'Info on Wheels' (IOW) yang memberi fokus kepada isu berkaitan 2019 novel koronavirus amat tepat memandangkan isu itu kini menjadi tumpuan umum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, meskipun program IOW yang dikendalikan Jabatan Penerangan diasaskan untuk memberi penjelasan berkaitan kejayaan serta dasar kerajaan, namun tumpuannya kepada isu koronavirus menjadi penting pada masa ini, lebih-lebih lagi dengan tersebarnya banyak berita palsu berkaitan koronavirus.

Menjadikan Sepang sebagai contoh, Mohamed Hanipa berkata, penyebaran maklumat yang tepat mengenai koronavirus amat diperlukan oleh masyarakat di daerah itu kerana mereka berada di kawasan laluan masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

"Usaha mendidik rakyat melalui program IOW amat membantu masyarakat memahami apa itu koronavirus, sekali gus mengelak mereka terpedaya dengan sebaran berita palsu mengenainya di media sosial,” katanya ketika ditemui pada program IOW di Kampung Baharu Lanjut di sini hari ini.

Kunjungan Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang ke rumah-rumah penduduk di kampung berkenaan turut disertai Pengarah Penerangan Selangor, Ali Suhaili.

Sementara itu, Ali berkata, Jabatan Penerangan Selangor telah merangka program bersama masyarakat di sembilan daerah di negeri itu bagi menyebarkan risalah dan maklumat terkini berkenaan jangkitan koronavirus.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pengisian program IOW telah dijuruskan kepada memberi penjelasan berkenaan koronavirus di kawasan tumpuan masyarakat seperti pasar malam, pasar tani dan pasar raya secara berjadual setiap hari, bermula 28 Januari lepas.

"Tumpuan kepada penyebaran informasi berkenaan kes koronavirus ini akan kita laksanakan sehingga negara diisytihar bebas dari wabak tersebut," katanya dan menambah setakat ini program IOW telah dilaksanakan di 10 kawasan Parlimen di Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan: