NFCP untungkan rakyat

Chee Yee (tiga, kiri) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika menguji kelajuan jalur lebar projek rintis NFCP TNB, baru-baru ini. Foto: Bernama
Chee Yee (tiga, kiri) dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika menguji kelajuan jalur lebar projek rintis NFCP TNB, baru-baru ini. Foto: Bernama
A
A
A
MODEL infrastruktur internet jalur lebar berkelajuan tinggi yang dibangunkan melalui projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dilihat mampu membentuk persaingan sihat antara pemain industri telekomunikasi terutama penyedia rangkaian perkhidmatan dan penyedia rangkaian gentian optik.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata, persaingan sihat antara pemain industri telekomunikasi itu penting dalam memberi perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan seterusnya menguntungkan rakyat.

Beliau berkata, pelaksanaan teratur dan mampan NFCP dilihat dapat mengurangkan kos pemasangan gentian optik untuk penyediaan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi terutama di kawasan luar bandar selaras dengan dasar kerajaan bahawa internet adalah hak asas semua rakyat dan bukan keistimewaan kumpulan tertentu sahaja.

"Di Malaysia, kita mempunyai kira-kira 30 pembekal internet jalur lebar yang boleh menjalankan kerja pemasangan gentian optik. Mereka berhak bersaing sesama sendiri untuk menyediakan pakej internet mengikut kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

“Apa yang penting bagi saya ialah mereka tidak terlebih caj dan perkhidmatan internet kelajuan tinggi itu mampu dimiliki rakyat," katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Pelaksanaan NFCP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps.

Peranan utama untuk menjayakan pelan itu diamanahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diteraju Menterinya Gobind Singh Deo yang ingin melihat kesalinghubungan Internet di Malaysia dapat dinikmati setiap orang di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Projek perintis NFCP dilaksana Tenaga Nasional Berhad di tiga kawasan di Jasin dekat sini iaitu Felda Tun Ghafar Kemendor, Taman Merbau dan Taman Maju.

Chee Yee berkata, masalah utama penyediaan internet oleh pemain industri telekomunikasi pada masa ini adalah kemapanan ekosistem industri itu iaitu bagaimana membekal internet berkualiti dengan liputan meluas kepada rakyat, dalam masa sama memberi impak positif dalam aspek perniagaan pemain industri itu.
Artikel Berkaitan: