Sia-sia langgar 14 lampu isyarat merah

Aidi Sham (tengah) menunjukkan besi yang diubah suai suspek menjadi 'master key' dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.
Aidi Sham (tengah) menunjukkan besi yang diubah suai suspek menjadi 'master key' dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.
A
A
A

PORT DICKSON - Cubaan dua lelaki lari daripada pemeriksaan polis dengan melanggar 14 lampu isyarat merah di sepanjang 10 kilometer (km) dari KM11 Jalan Seremban-Lukut sehingga simpang ke Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad (SDASA) di sini semalam hanya sia-sia apabila berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian jam 2.40 petang itu, suspek yang menaiki kereta Proton Wira sebelum itu ditahan polis yang membuat rondaan Ops Selamat 16 Tahun Baru Cina.

"Polis yang buat rondaan mengarahkan suspek berhenti kerana kenderaan dinaiki menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan ditetapkan.

"Namun suspek bertindak melarikan diri dan terus memandu laju melalui Jalan Pantai menghala ke Telok Kemang serta melanggar 14 lampu isyarat merah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini hari ini.

Menurutnya, apabila tiba di lampu isyarat SDASA, suspek masuk ke laluan bertentangan dan memandu secara melawan arus sebelum berjaya ditahan di hadapan Sekolah Tinggi Port Dickson.

Beliau berkata, dalam usaha melarikan diri, suspek turut melanggar lima buah kenderaan termasuk sebuah lori.

"Ketika ditahan, suspek yang berusia 38 dan 28 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan.

"Suspek berusia 38 juga mempunyai sembilan rekod jenayah dan baru enam bulan dibebaskan dari penjara Bentong, Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aidi Sham berkata, kenderaan digunakan suspek juga merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di IPD Sepang, Selangor.

Katanya, pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki suspek menjumpai satu kotak mengandungi satu tiub ketulan kristal dipercayai dadah seberat 0.9 gram dan turut dirampas tiga batang besi kecil diubah suai menjadi 'master key' dipercayai untuk kegunaan curi kenderaan.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.