Tukang urut, pemandu Grab didakwa sokong IS

Wan Amirul Azlan (dua dari kanan) dan Mohamad Ayub didakwa memberi sokongan serta memiliki item berkaitan IS di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Wan Amirul Azlan (dua dari kanan) dan Mohamad Ayub didakwa memberi sokongan serta memiliki item berkaitan IS di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Tukang urut dan pemandu Grab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Wan Amirul Azlan Jalaludin, 35, dan Mohamad Ayub Musa, 36, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Azman Abu Hassan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Wan Amirul Azlan yang merupakan tukang urut didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara berbaiah di sebuah rumah di Perumahan Awam 3, Kampung Gajah, pada jam 9.03 pagi, 24 Oktober 2019.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sepanjang hayat atau pemenjaraan tidak melebihi 30 tahun atau denda dan merampas harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diiringi pasukan polis ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas IS.
Kedua-dua tertuduh diiringi pasukan polis ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas IS.

Tertuduh turut didakwa atas pertuduhan kedua iaitu memiliki item-item berkaitan IS di lokasi sama pada jam 7.20 pagi, 6 Januari lalu.

Mohamad Ayub pula didakwa memiliki item berkaitan IS dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung J2 Pro berwarna perak di alamat Taman Meru 2C, Jelapang, pada jam 9.38 pagi, 8 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sepanjang hayat atau pemenjaraan tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Ahu Hanipah, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes.