Resah air kumbahan melimpah ke ruang tamu
JASIN - Empat keluarga di Taman Seroja Empat, Taman Maju di sini resah terpaksa berdepan dengan masalah limpahan air kumbahan dalam rumah sejak lebih 10 tahun lalu.
Pekerja swasta, Senin Kecut, 60, berkata, setiap kali hujan lebat, rumahnya akan dilanda banjir kilat yang berpunca limpahan air dari lubang kumbahan.
Menurutnya, tidak terhitung berapa kali kediamannya dipenuhi air kumbahan sehinggakan melimpah ke ruang tamu rumah.
"Sedih kerana hanya rumah kami berdepan masalah ini sejak sekian lama dan sehingga kini masih tiada lagi penyelesaian.
"Bila hujan kami nak keluar rumah atau ke mana pun resah sebab bimbang dengan limpahan air kumbahan yang berpunca dari bilik air," katanya.
Pesara tentera, Mohd Shah Ali, 59, berkata, telah lama bersabar memandangkan sudah mendiami rumah tersebut sejak tahun 2010.
Beliau berkata, sudah mengeluarkan modal yang banyak untuk mengurangkan masalah limpahan air termasuk melakukan ubah suai dan menukar lantai dapur bagi mengelak air melimpah ke ruang tamu seperti yang terjadi sebelum ini.
"Memang penat terpaksa membersihkan lantai rumah yang dinaiki air kotor dan semalam (Selasa) paling teruk.
"Saya berharap agar penyelesaian segera dapat diambil oleh agensi yang berkenaan," katanya.
Warga emas, Nona Bujang, 60, berkata, dia sekeluarga buntu mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah 'banjir air kumbahan' itu.
Menurutnya, dalam tempoh lapan bulan tahun ini sudah empat kali rumah mereka dinaiki air namun dengan kekangan kudrat ditambah mengidap asma sukar untuk membersihkan air kumbahan tersebut.
"Kejadian ini bukan baru berlaku dua tiga tahun tetapi berpuluh tahun terutama setiap kali hujan lebat, walaupun sekejap sahaja rumah sudah penuh air.
"Saya memohon agar masalah yang dihadapi ini diberi perhatian sewajarnya dan diselesaikan secepatnya oleh pihak berkaitan," katanya.
Sementara itu, Penyelaras Japerun Bemban, Razif Yakop berkata, masalah itu telah dipanjangkan kepada pihaknya dan kerja-kerja mengatasi masalah limpahan air kumbahan ini masih menanti kelulusan peruntukan daripada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
Menurutnya, perbincangan akan diadakan bersama MPJ dan Indah Water Kosortium Sdn Bhd (IWK) bagi mencari mekanisma terbaik dalam menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan.
"Kita harap peruntukan ini dapat disegerakan selain sebagai langkah awal kita akan kenal pasti penyelesaian untuk bantu kurangkan limpahan ketika hujan lebat," katanya.