Lelaki OKU cedera disimbah air panas dalam lif

Mangsa disimbah air panas oleh seorang wanita yang juga jirannya di dalam sebuah lif di Bayan Lepas (kiri). Mangsa melecur di beberapa bahagian badan dan dirawat di HPP (kanan).
Mangsa disimbah air panas oleh seorang wanita yang juga jirannya di dalam sebuah lif di Bayan Lepas (kiri). Mangsa melecur di beberapa bahagian badan dan dirawat di HPP (kanan).
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) melecur di beberapa bahagian badannya selepas disimbah air panas di dalam sebuah lif di kediamannya pada pagi Jumaat.

Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 33 tahun kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan suspek yang merupakan seorang wanita selepas adik perempuan mangsa berusia 23 tahun membuat laporan polis.

"Kejadian berlaku pada jam 9.20 pagi di sebuah lif di sebuah pangsapuri di Jalan Rajawali di sini. Menurut laporan adik mangsa, abangnya adalah seorang sindrom Down namun boleh bertutur dengan baik.

"Ketika mangsa berada di dalam lif bersama seorang wanita, dia telah disimbah dengan cecair dipercayai asid. Ini kerana, selepas terkena cecair berkenaan, mangsa melecur pada bahagian depan dan belakang badan sebelah kanan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut.

"Pegawai perubatan mengesahkan bahawa kecederaan melecur pada badan mangsa bukannya akibat disimbah asid sebaliknya air panas.

"Siasatan awal mendapati, mangsa tinggal di kediaman tersebut bersama adik beradiknya yang lain. Kejadian berlaku ketika mangsa menaiki lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat 16," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek yang juga jiran kepada mangsa telah dikenalpasti dan sedang dikesan.

"Punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa tidak pernah bertegur dengan suspek selain tidak pernah berselisih faham. Suspek disyaki tinggal dalam kawasan kejiranan rumah mangsa.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, semasa kejadian hanya mangsa dan suspek berada di dalam lif tersebut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!