Rakyat Malaysia dibawa pulang dari Wuhan akan dikuarantin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Seramai 80 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan, China akan dikuarantin sebaik sahaja tiba di negera ini susulan penularan novel koronavirus yang menyerang bandar itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemeriksaan secara teliti perlu dilakukan bagi memastikan kesemua mereka bebas daripada virus tersebut.

Menurutnya, sepasukan pegawai perubatan akan turut serta dalam penerbangan ke Wuhan dan menyalurkan bantuan sebanyak 10 juta sarung tangan getah kepada petugas perubatan Wuhan.

"Kita mahu semua mereka yang hendak dibawa pulang diperiksa terlebih dahulu dan sebaik saja tiba di Malaysia mereka akan diperiksa lagi.

"Ini bagi melihat kepada keadaan dan kemungkinan juga mereka akan dikuarantin untuk beberapa ketika, baru selepas itu mereka akan dilepaskan," katanya.

Saifuddin (tengah) hadir pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Indera Mahkota malam tadi.
Saifuddin (tengah) hadir pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Indera Mahkota malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Indera Mahkota malam tadi.

Sebelum itu, Saifuddin berkata, kerajaan sudah memutuskan untuk membawa pulang rakyat yang berada di Wuhan dengan menggunakan penerbangan komersial dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh jawatankuasa khas bawa pulang rakyat Malaysia di Hubei

Menurutnya, menerusi rundingan dengan kerajaan China, penggunaan pesawat komersial sahaja dibenarkan bagi tujuan itu.

"Jadi kita ikut ketetapan itu dan kita akan menggunakan penerbangan komersial. Soal kapal terbang mana itu kita akan umumkan kemudian.

"Begitu juga mengenai bila, tarikh dan sebagainya, bila sudah sah kita akan umum," katanya.

Beliau berkata, kedutaan Malaysia di Beijing, China juga sudah membuka bilik operasi selama 24 jam sejak seminggu lalu berikutan penularan virus terbabit.

Jelasnya, berdasarkan rekod seramai 35,000 rakyat Malaysia menetap di negara itu.

"Saya difahamkan lebih 25,000 rakyat kita berada di Hong Kong, di Beijing (2,500) manakala di Wuhan pula sekitar 115 orang.

"Tetapi hanya 80 yang dikesan kerana selebihnya ada yang balik bercuti di Malaysia dan berada di beberapa wilayah lain di China," katanya.

Saifuddin berkata, 80 rakyat yang akan dibawa balik itu termasuk sembilan pelajar, 11 suami atau isteri daripada Malaysia dan pasangan Afrika Selatan yang juga warganegara.

"Kita akan cuba bawa balik tetapi ini bergantung kepada mereka," katanya.