X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: KPM tangguh pendaftaran pelajar Wuhan, Hubei

Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan menggunakan penyukat suhu dahi bagi mengukur suhu badan pelancong. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya di semua institusi pendidikan di negara ini berikutan penularan kluster 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

KPM dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan penangguhan itu dibuat sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu pelajar dari wilayah lain di negara China dibenarkan mendaftar untuk belajar di Malaysia dengan pemantauan rapi daripada institusi pendidikan yang terlibat, menurut kenyataan itu.

KPM turut menasihati semua institusi pendidikan di Malaysia mengambil langkah pencegahan termasuk bagi warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang akan keluar dari negara China, menangguhkan perjalanan mereka ke Malaysia sekiranya saringan keluar menunjukkan gejala penyakit 2019-nCoV.

"Semua warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang tiba dari negara China perlu melalui saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara dan mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Memantau status kesihatan semua warga pendidik dan pentadbir serta pelajar yang membuat lawatan dari negara China melalui institusi pendidikan masing-masing," kata KPM.

KPM berkata kementerian itu juga akan sentiasa bekerjasama dengan KKM dan semua agensi terlibat dalam memastikan kesihatan warga pendidik, pentadbir dan pelajar di semua institusi pendidikan diberi perhatian dalam menangani jangkitan penyakit ini.

Pada 27 Januari lalu kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya berkuat kuasa serta-merta.

Sehingga kini jumlah kes yang disahkan positif koronavirus di negara ini adalah lapan, yang semuanya melibatkan warganegara China.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!