India sahkan kes pertama koronavirus

Koronavirus
Koronavirus
A
A
A

NEW DELHI- India mengesahkan kes pertama 2019 novel koronavirus melibatkan seorang pelajarnya yang menuntut di Universiti Wuhan, China.

Kementerian Kesihatan India melaporkan pelajar yang berasal dari selatan Kerala itu didapati positif ujian untuk koronavirus.

“Pesakit itu kini dalam wad pengasingan di hospital dan berada dalam keadaan stabil serta dipantau dengan teliti,” menurut kementerian itu pada Khamis.

Kerajaan India menasihatkan rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke China dan mereka yang datang dari negara itu perlu memantau kesihatan mereka.

Wabak virus itu telah menular di China sehingga menyebabkan 170 kematian dan kira-kira 8,000 orang jatuh sakit.

Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India pula memaklumkan negara itu sedang bersedia untuk membawa keluar rakyatnya yang terjejas dengan wabak koronavirus di Wilayah Hubei, China.

Kerajaan telah mewujudkan talian bantuan 24 jam untuk memberi maklumat mengenai koronavirus dan pasukan perubatan juga ditempatkan di lapangan terbang untuk memantau kes-kes yang disyaki.

Latihan kecemasan turut dilakukan di bandar selatan Chennai bagi menguji kesediaan perubatan untuk virus itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: