Koronavirus: Gesa kerajaan bentang pelan pemulihan ekonomi

Asyraf Wajdi bersama Exco-exco Pemuda UMNO pada sidang media di PWTC hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Asyraf Wajdi bersama Exco-exco Pemuda UMNO pada sidang media di PWTC hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa membentangkan segera pelan pemulihan ekonomi susulan penularan wabak koronavirus yang dijangka memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda dunia pada November 2002 hingga Julai 2003 telah memberi kesan kepada industri pelancongan negara ketika itu walaupun Malaysia belum menjadi rakan dagang besar China.

Menurutnya, China kini adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dari Januari hingga November 2019 mencecah RM289 bilion seperti mana menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Walaupun pelbagai tindakan telah diambil oleh pihak Kerajaan Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk membendung penularan wabak virus Wuhan di dalam negara kita, keresahan dan kegusaran rakyat termasuklah para pelabur perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

"Ekonomi negara bakal lebih terkesan kerana wabak ini boleh mempengaruhi rakyat untuk tidak berbelanja sekaligus menurunkan permintaan domestik.

"Hal ini boleh menyebabkan pengeluar serta pengilang akan menghadapi masalah dan bakal menyebabkan mereka untuk lebih berjimat dan lebih merisaukan pengurangan saiz pekerja di syarikat

masing-masing,"katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 14 warga China tiba dari Wuhan telah dihantar pulang: Muhyiddin

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan Kadar Faedah Bank (OPR) sebanyak dua kali dan kini pada kadar 2.75 peratus, ia tidak memberi kesan yang diharapkan.

"Kemasukan pelancong China juga merupakan penyumbang kepada hasil negara apabila semakan di laman Tourism Malaysia mendapati bilangan pelancong dari negara China dari Januari sehingga September 2019 adalah seramai 2.41 juta pengunjung dan menyumbang kepada kutipan hasil sebanyak RM12.79 bilion.

"Justeru, pemuda UMNO mendesak agar Kerajaan Pentadbiran Pakatan Harapan untuk segera merangka pelan pemulihan yang komprehensif agar wabak ini tidak akan menjejaskan kestabilan rakyat dan memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas, khususnya industri pelancongan negara,"katanya.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan penularan koronavirus tidak memberi kesan kepada unjuran ekonomi negara buat masa ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata, ia akan memberi kesan terhadap ekonomi negara dalam tempoh jangka panjang jika wabak itu tidak ditangani dengan baik.