Sembilan rakyat Malaysia di Syria mahu pulang: Ayob Khan

Ayob Khan (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada 200 hadirin selepas Program Bicara Cendekiawan Mulia Universiti Malaysia Pahang (UMP) di UMP Kampus Pekan di sini hari ini.
Ayob Khan (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada 200 hadirin selepas Program Bicara Cendekiawan Mulia Universiti Malaysia Pahang (UMP) di UMP Kampus Pekan di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 56 rakyat Malaysia masih berada di Syria dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan dengan sembilan daripadanya meminta pertolongan untuk kembali ke negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, usaha untuk membantu membawa mereka pulang ke tanah air telah dilaksanakan, namun tertakluk kepada keputusan kerajaan.

"Daripada 56 orang itu, 19 adalah lelaki manakala wanita (12); kanak- kanak lelaki (17) dan kanak-kanak perempuan (8).

"Seramai 27 orang dikenalpasti berada di Kem Al-Houl, sembilan orang di Penjara Al-Hasakah, seorang di Idlib manakala 19 lagi belum dikenalpasti lokasi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bicara Cendekiawan Mulia Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertajuk Terrorisme: Pengaruh dan Ancaman Dalam Negara Bangsa di UMP Kampus Pekan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka ini sekiranya kembali ke Malaysia bagi lelaki dewasa akan ditahan dan disiasat untuk pengadilan undang-undang manakala kanak-kanak dan wanita pula akan dibuat penilaian khusus oleh pakar psikologi untuk mengetahui ideologi mereka.

"Kita akan mendapatkan jawapan sebab apa mereka ke Syria, adakah dipaksa atau ditipu. Jika ada cukup bukti, wanita dewasa juga akan dituduh di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya terdapat usaha pengganas Daesh meyakinkan rakyat asing di Syria termasuk rakyat Malaysia agar terus kekal dan berjuang bersama mereka kerana mereka yakin akan kembali menubuhkan Daulah Islamiah.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini telah melalui proses doktrinasi yang kuat sehingga meyakini perbuatan yang mereka lakukan adalah betul berlandaskan hadis.

"Maklumat risikan juga mendapati ada usaha untuk memantapkan ideologi pengganas Daesh dalam kalangan rakyat asing di Syria," katanya.