X

Kindly register in order to view this article
!

Ustazah rugi RM9,000 diperdaya sindiket Macau Scam

Noorzainy
A
A

KEPALA BATAS - Seorang guru Bahasa Arab sebuah sekolah di Tasek Gelugor di sini kerugian RM9,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ustazah berusia 32 tahun itu menerima panggilan daripada mahkamah yang menyatakan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram serta pengedaran dadah selain perlu hadir perbicaraan.

"Mangsa kemudiannya disambungkan kepada beberapa suspek yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Faid, Sarjan Sharif dan Inspektor Akif yang kononnya bertugas di Bukit Aman.

Menurutnya, suspek telah memberi tekanan emosi kepada mangsa dengan menyalahkan mangsa dan memberitahu mangsa akan ditangkap serta diheret ke mahkamah.

”Mangsa yang ketakutan diberitahu akan dibantu Inspektor Akif dengan memindahkan wang ke akaun sementara bagi siasatan dan wang akan dipulangkan semula.

"Mangsa juga diberi amaran untuk merahsiakan panggilan tersebut daripada orang lain kerana mendakwa hal itu sulit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, akibat terpedaya, mangsa telah memberi maklumat akaun kepada suspek dan membuat beberapa transaksi ke atas beberapa akaun yang diberikan.

Katanya, mangsa menyedari ditipu setelah merujuk dengan seorang rakannya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus