Lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah diberkas

Polis berjaya menahan salah seorang suspek berhubung kes pecah masuk rumah di Damansara Jaya.
Polis berjaya menahan salah seorang suspek berhubung kes pecah masuk rumah di Damansara Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis berjaya memberkas seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Damansara Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 9.25 malam di sebuah rumah di Taman Setapak Jaya.

"Lelaki berasal dari Negeri Sembilan itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan dikehendaki berhubung kes Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Zani berkata, pihaknya turut merampas tiga beg berjenama, satu tablet dan dua telefon bimbit dalam serbuan tersebut.

"Suspek mengaku melakukan lima kes pecah rumah di Sea Park dan satu di Damansara Jaya bersama tiga rakannya dengan menaiki kenderaan jenis Mazda CX5 dan Honda HRV," katanya.

Mohd Zani memaklumkan, pihaknya kini sedang memburu tiga lagi rakan suspek.

Pada 21 Januari lalu, pasangan suami isteri yang baharu sahaja pulang dari membeli-belah terkejut apabila melihat dua penjenayah yang memecah masuk rumah mereka di Damansara Jaya.

Dalam kejadian pada jam 1.30 petang itu, dua suspek yang menaiki sebuah kenderaan bertindak melanggar kereta yang dinaiki mangsa untuk melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Suspek melarikan beberapa barangan berharga milik mangsa antaranya wang tunai dan mata wang asing.

Rakaman video berdurasi 45 saat mengenai kejadian itu tular di laman sosial.