TLDM usaha bawa balik 15 anggota dari China

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dengan pembinaan empat buah Kapal Misi Pesisir (LMS) di Wuhan, China.
Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat dengan pembinaan empat buah Kapal Misi Pesisir (LMS) di Wuhan, China.
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan 57 orang yang terlibat dengan pembinaan empat buah Kapal Misi Pesisir (LMS) di Wuhan, China akan sentiasa dipantau dari masa ke masa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Cawangan Komunikasi Strategik TLDM hari ini, daripada jumlah tersebut, 42 orang telah pulang ke Malaysia semasa musim cuti perayaan Tahun Baru Cina sejak 17 dan 20 Januari lalu manakala baki 15 orang lagi masih berada di Qidong, Shanghai.

“Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan koronavirus melibatkan warga TLDM. Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan, TLDM sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggota ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Pemantauan rapi sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa dan TLDM amat prihatin terhadap kebajikan warga khususnya dari segi aspek kesihatan. Diharapkan tiada sebarang penyebaran maklumat yang tidak sah atau palsu disalurkan berkenaan koronavirus yang melibatkan projek LMS sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam,” kata kenyataan itu.

Empat buah kapal LMS itu dibina di Wuhan, China selepas kerajaan Malaysia menandatangani kontrak perolehan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017.

Oleh itu, TLDM telah menubuhkan Pasukan Projek LMS TLDM (PPLMS TLDM) sejak 8 Julai 2017 yang dianggotai seramai 12 orang terdiri daripada Pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Di samping itu, TLDM juga telah menghantar 45 orang bakal warga kapal LMS kedua (SUNDANG) sejak 5 November 2019 ke Qidong, Shanghai bagi mengikuti latihan penyesuaian dan seterusnya membawa pulang SUNDANG ke Malaysia pada pertengahan April 2020.

Setakat jam 11 pagi tadi, seramai 170 pesakit telah meninggal dunia kerana koronavirus dan lebih 7,000 orang disahkan positif majoritinya di negara China.

Artikel Berkaitan: