MOA sasar tambah 70 pasar nelayan tahun ini

Salahuddin (kiri) menurunkan tandatangan bagi merasmikan Pasar Nelayan Pulau Gajah, Sabak di sini hari ini.
Salahuddin (kiri) menurunkan tandatangan bagi merasmikan Pasar Nelayan Pulau Gajah, Sabak di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan penambahan 70 buah pasar nelayan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 200 buah di seluruh negara pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penambahan pasar nelayan tersebut dilakukan berdasarkan perkembangan positif dalam penjualan ikan yang membantu meningkatkan taraf hidup para nelayan.

"Saya berjanji dalam masa tiga tahun sekiranya kita jaga perairan, pendapatan nelayan akan bertambah. Sekarang pun saya diberitahu nelayan sendiri bahawa pendapatan mereka bertambah dan tiada lagi vesel asing yang masuk.

"Saya akan terus membantu nelayan dan Kabinet akan meneruskan Ops Naga. Satu kejayaan apabila di kawasan pantai kita dapat menangkap ikan yang segar.

"Saya harap nelayan terus berusaha dan jangan guna pukat haram. Insya-ALLAH, mereka dapat mengubah taraf hidup pada masa akan datang," katanya kepada media selepas merasmikan Pasar Nelayan Pulau Gajah, Sabak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaluddin Othman.

Menurutnya, perniagaan ikan yang dijalankan di pasar nelayan dapat membantu dan memudahkan pembeli untuk mendapatkan bekalan ikan yang segar dan murah.

Artikel Berkaitan:

Salahuddin (dua dari kiri) berbual dengan peniaga di Pasar Nelayan Pulau Gajah, Sabak di sini hari ini.
Salahuddin (dua dari kiri) berbual dengan peniaga di Pasar Nelayan Pulau Gajah, Sabak di sini hari ini.

Malah katanya, pihaknya sentiasa memastikan pengawalan urus niaga dilakukan dengan baik dan sumber utama iaitu laut juga bebas daripada sebarang ancaman.

"Kita juga sentiasa meningkatkan kemudahan dan kebajikan kepada nelayan selain membantu mereka untuk membuat pinjaman melalui geran-geran yang disediakan dan sebagainya.

"Ini salah satu cara untuk mereka meningkatkan perniagaan dan kita berharap dapat mengubah kehidupan mereka daripada B40 (golongan berpendapatan rendah) ke M40 (golongan berpendapatan pertengahan) dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Untuk rekod, terdapat 90 buah pasar nelayan yang aktif menjalankan urus niaga melibatkan seramai 558 orang peserta di seluruh negara.

Sehingga 31 Disember 2019, pasar nelayan mencatatkan urus niaga berjumlah kira-kira RM49.1 juta bersamaan purata jumlah urus niaga RM4.09 juta sebulan.

Di Kelantan, terdapat lima buah pasar nelayan iaitu Pasar Nelayan Tok Bali, Pasar Nelayan Bachok, Pasar Nelayan Kuala Besar, Pasar Nelayan Pulau Gajah dan Pasar Nelayan Tumpat.