Warga emas rugi RM310,000 diperdaya 'Datuk'

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas berusia 70 tahun terpaksa menanggung kerugian RM310,000 selepas diperdaya dua lelaki termasuk seorang bergelar 'Datuk' yang menawarkan pelaburan projek pembalakan tidak wujud di Kuala Lipis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berurusan dengan salah seorang suspek yang dikenali melalui rakannya berhubung projek itu bermula 4 Oktober tahun lalu.

"Pada keesokan hari, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya bergelar 'Datuk' yang menjelaskan tentang projek tersebut.

"Kedua-dua suspek berjaya meyakinkan mangsa untuk menyerahkan sebahagian wang pelaburan berjumlah RM150,000 secara tunai pada 30 Oktober tahun lalu di Bentong," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, dalam tempoh 31 Oktober hingga 2 November 2019, mangsa membuat beberapa lagi pembayaran membabitkan jumlah RM40,000 melalui akaun bank salah seorang suspek.

"Selepas menerima bayaran itu, suspek membawa mangsa melihat tapak projek pada 5 November 2019 dan pada hari yang sama, mangsa membuat bayaran tambahan RM70,000 secara tunai.

"Mangsa kemudiannya membuat beberapa lagi bayaran seperti diminta melalui pemindahan wang sebanyak RM50,000," katanya.

Beliau berkata, selepas semua bayaran diminta, mangsa membuat semakan berhubung status kelulusan projek itu melalui pihak perhutanan dan dimaklumkan projek tersebut sebenarnya tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mengambil keputusan untuk bersemuka dengan suspek bergelar 'Datuk' itu bagi menuntut kembali wangnya, namun lelaki itu enggan memberi kerjasama.

"Suspek juga menghantar mesej melalui WhatsApp berbaur ancaman kepada mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek terlibat untuk tindakan selanjutnya.