Kembara Al-Quran bertemu 20,000 huffaz seluruh negara

Pelajar sekolah juga menyertai program Ar-Rahah #QuranHour yang diadakan di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi. - FOTO ROSLI TALIB
Pelajar sekolah juga menyertai program Ar-Rahah #QuranHour yang diadakan di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rumah Ngaji Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi akan mengembara bertemu golongan huffaz di institusi tahfiz seluruh negara melalui program Kembara Al-Quran bermula Mac ini.

Ketua Imam Masjid Ar-Rahah, Khairul Haffiz Abd Halim berkata, program tersebut memberi fokus terhadap pembangunan modal insan dalam kalangan huffaz al-Quran.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan sejak tahun lepas secara tidak rasmi di bawah kendalian Duta Rumah Ngaji Masjid Ar-Rahah, Khairul Anuar Basri.

"Pada tahun ini kita menyasarkan 20,000 orang lagi huffaz bakal mendapat manfaat.

"Kita akan adakan ceramah motivasi huffaz dan teknik menghafaz al-Quran selain slot tadabbur al-Quran secara serentak.

"Dalam program tersebut, kita akan hadiahkan buku travelog huffaz Kenapa Aku Menghafaz Al-Quran," katanya ketika ditemui pada program Ar-Rahah #QuranHour di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi di sini pagi semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Munir Md Salleh mewakili Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail yang turut menyempurnakan pelancaran program Kembara Al-Quran.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rahah, Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir dan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Dzulkifli Fadzilah.

Hadirin yang hadir membaca Al-Quran pada program Ar-Rahah #QuranHour yang diadakan di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi. - FOTO ROSLI TALIB
Hadirin yang hadir membaca Al-Quran pada program Ar-Rahah #QuranHour yang diadakan di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi. - FOTO ROSLI TALIB

Ar-Rahah #QuranHour memilih tema Bina Legasi Harmoni dengan memberi fokus kepada tadabbur surah Al-Baqarah (ayat satu hingga lima) dan surah Ar-Rahman (ayat satu hingga 16).

Program bermula dengan tadarus al-Quran disertai 400 tetamu termasuk badan korporat dan penduduk setempat yang diketuai Khairul Anuar.

Program World #QuranHour akan diadakan pada 20 Ramadan 1441H, bersamaan 13 Mei manakala Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos dengan membawa misi Ar-Rahman dengan berpandukan surah Ar-Rahman.