X

Kindly register in order to view this article
!

Zambry kesal didakwa terlibat skandal MAPS

Penutupan MAPS, ada cubaan pihak tertentu yang melemparkan fitnah kononnya berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
A
A

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melemparkan fitnah terhadapnya berkaitan penutupan Taman Tema Animasi Studio (MAPS).

Menurutnya, sebaik sahaja penutupan MAPS dibuat, ada cubaan pihak tertentu yang melemparkan fitnah kononnya berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Tidak cukup membina persepsi jahat dengan mencipta istilah 'Mini 1MDB', pihak berkenaan melemparkan tuduhan serius mengaitkan diri saya dengan dakwaan skandal yang tidak berasas sama sekali.

"Tuduhan ini adalah fitnah yang sangat serius, berniat jahat dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu.

"Saya akan mendapatkan nasihat serta pandangan perundangan dan akan mengambil tindakan susulan terhadap cubaan untuk berbohong, memfitnah dan merosakkan nama saya oleh individu dan pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seperti diketahui umum, MAPS dimiliki oleh syarikat senaraian awam yang mana semua keputusan berada dan dibuat di peringkat pengurusannya.

Jelasnya, ia tertakluk kepada syarat penyenaraian serta patuh kepada semua tatacara serta piawaian termasuk tertakluk kepada kawal selia Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti dan garis panduan Corporate Governance yang ditetapkan.

"Saya bukanlah Pengerusi atau Ahli Lembaga kepada syarikat ini.

"Justeru, saya mengalu-alukan sebarang laporan audit tentang kedudukan MAPS sejak 2013 hinggalah 2019.

"Setiap akaun tertakluk kepada pengawasan Jawatankuasa Audit dan Firma Audit bertauliah," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu turut menyatakan rasa kesal apabila isu berkenaan terus dijadikan bahan politikA untuk tujuan dan matlamat meruntuhkan maruah dan keaiban.

"Saya tetap konsisten sejak dahulu lagi bahawa sekiranya berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka tindakan hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang," katanya.

Taman tema yang dibangunkan dengan kos RM520 juta itu ditutup secara rasmi bermula semalam, hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) daripada Messrs Ernst & Young.

MAPS dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017.