Olimpik Paris: Zii Jia singkir Antonsen, layak ke separuh akhir
PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 apabila melepasi halangan dari pemain Denmark Anders Antonsen di sini pada awal pagi Sabtu di Malaysia.
Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena itu, Zii Jia mencatatkan kemenangan 21-17, 21-15 ke atas pemain nombor tiga dunia itu, yang juga rakan baiknya.
Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia dilihat lebih tenang untuk menguasai perlawanan dari awal untuk memenangi set pertama, sebelum meneruskan momentum berkenaan pada set kedua bagi mencatatkan kemenangan straight sets.
Kejayaan itu sekali gus membantu Zii Jia merapatkan jurang rekod pertemuan dengan Antonsen dengan melakarkan empat kemenangan dalam sembilan pertemuan mereka setakat ini.
Menanti di separuh akhir Ahad ini ialah juara dunia 2023 Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang mencipta sensasi apabila mengyingkirkan pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi menerusi kemenangan straight sets 21-12, 21-10.
Zii Jia mara ke suku akhir selepas menyingkirkan pilihan tuan rumah, Toma Junior Popov 21-13, 24-22 pada pusingan 16 terakhir pada Jumaat, sekali gus memperbaiki pencapaiannya di temasya Tokyo 2020, apabila tewas kepada jaguh China, Chen Long pada peringkat 16 terakhir.
Mengulas mengenai kemenangan itu, Zii Jia berkata, beliau mampu tampil dengan tenang sepanjang perlawanan itu kerana fokus pada setiap mata dan tidak tergesa-gesa untuk menang.
"Sangat gembira untuk ke separuh akhir, tapi perjuangan masih berterusan. Saya sangat tenang dan dapat merasakan dia (Antonsen) tekad mahu menang...mungkin salah satu sebab dia melakukan banyak kesilapan mudah.
"Olimpik sentiasa ada kejutan dan tiada siapa pilihan...apa sahaja boleh berlaku...jadi bergantung bagaimana kita boleh menangani situasi. Saya pun tak boleh 100 peratus pasti esok saya boleh buat macam ini," katanya.
Ditanya mengenai pertembungan menentang Kunlavut nanti, Zii Jia mengakui cabaran pasti sengit memandangkan lawannya itu berada pada tahap terbaik dengan mengalahkan pilihan utama di suku akhir.
Sementara itu, Antonsen berkata beliau sangat sedih dan kecewa kerana mahu sangat memenangi perlawanan itu.
"Ini bukan cara Olimpik yang saya idamkan. Saya cuba melakukan pelbagai cara untuk menukar rentak permainan tetapi tidak berhasil. Zii Jia pastinya cukup bagus seperti pemain lain untuk perebutan pingat emas," katanya. - Bernama