X

Kindly register in order to view this article
!

Datuk Bandar Wuhan mengaku sembunyi maklumat koronavirus

Xianwang sedia meletak jawatan sebagai pertukaran untuk mendapatkan pengampunan daripada orang ramai. - Foto Agensi
A
A

BEIJING - Datuk Bandar Wuhan mengaku pentadbirannya menyembunyikan maklumat mengenai koronavirus kepada orang ramai.

Zhou Xianwang berkata, pasukannya tidak mendedahkan maklumat tentang situasi tersebut pada waktu sepatutnya.

"Kami juga menyaksikan penyebaran koronavirus tersebut antara manusia pada skala yang besar," kata Xianwang menerusi wawancara bersama stesen CCTV yang disiarkan secara langsung kelmarin.

Sehari sebelum itu, beliau mendedahkan kira-kira lima juta penduduk Wuhan telah meninggalkan bandar itu sebelum ia dikuarantin pada Khamis lalu.

Jelasnya, pentadbirannya perlu mendapat kebenaran daripada pihak lebih tinggi sebelum membuat sebarang pengumuman berkaitan koronavirus tersebut.

"Kami juga tidak menggunakan maklumat secara berkesan untuk meningkatkan kerja pada tahap memuaskan. Saya harap orang ramai dapat memahami situasi kami. Koronavirus adalah penyakit berjangkit. Segala maklumat relevan perlu didedahkan mengikut undang-undang.

"Saya hanya boleh memaklumkan kepada orang ramai selepas mendapat kebenaran," ujarnya.

Menurutnya, beliau dan Setiausaha Parti Komunis Wuhan bersedia untuk meletak jawatan sebagai pertukaran untuk mendapatkan pengampunan orang ramai. - Agensi