Hilang satu nyawa setiap 84 minit

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan United Nation Regulation iaitu R44 dan R129. - Gambar hiasan
Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan United Nation Regulation iaitu R44 dan R129. - Gambar hiasan
A
A
A

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober tahun lalu mengumumkan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula awal tahun ini.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan United Nation Regulation iaitu R44 dan R129.

Langkah baharu itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

Menurut Dr Wan Azizah, kita kehilangan satu nyawa setiap 84 minit akibat nahas jalan raya dan kanak-kanak adalah golongan yang turut sama berada di atas jalan raya.

Mereka juga terdedah kepada risiko yang tinggi terhadap kecederaan sekiranya terbabit di dalam nahas jalan raya.

Timbul persoalan, bagaimana golongan kurang berkemampuan yang mempunyai anak ramai dan memiliki kereta kecil mahu memasang CRS?

Namun kerajaan melalui pengumuman oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar lima hari selepas itu memberi kelonggakan penggunakan CRS sekiranya mempunyai bilangan anak yang ramai dan kos yang tinggi.

Ingkar

Artikel Berkaitan:

Tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan CRS dalam setiap kereta persendirian pula hanya akan dibuat selepas tempoh enam bulan pelaksanaannya.

Menerusi laporan media pada 14 Disember tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar selepas tamat tempoh enam bulan pertama yang diperuntukkan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam aspek keselamatan.

Sejak pelaksanaan CSR pada 1 sehingga 22 Januari lalu, sebanyak 525 notis advokasi dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pengguna jalan raya yang membawa penumpang kanak-kanak tanpa CRS.

Berhubung penjualan CRS secara dalam talian, pada 29 Disember tahun lalu, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan memantau dengan teliti penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak secara dalam talian ketika ini bagi memastikan kerusi itu benar-benar mematuhi ciri-ciri piawaian ditetapkan.

Kementerian mempunyai tanggungjawab bagi memastikan pelbagai aspek mengenai kerusi itu dipatuhi supaya tidak timbul isu atau aduan mengenai barangan tiruan atau palsu dan tidak selamat dijual kepada orang ramai.

Garis panduan mengenai ciri-ciri CRS sudah pun dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Apabila penggunaan kerusi CRS itu berkuat kuasa, kementerian akan terus melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan yang berkaitan dengan pematuhan ciri-ciri yang ditetapkan Miros, standard keselamatan produk, cap dagangan sama ada palsu atau tulen dan sebagainya.

Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan kerusi sedia ada kerana pada 16 Januari lalu, kerajaan mengambil langkah praktikal untuk membenarkan ibu bapa menggunakan CRS sedia ada sebelum penguatkuasaan dilaksanakan awal tahun ini.

Anthony berkata, pihaknya tidak mahu membebankan pengguna berhubung garis panduan mengenai ciri-ciri CRS dikeluarkan Miros.

Selepas 1 Januari 2020, produk yang memasuki pasaran mestilah memenuhi piawaian dan pengguna dinasihatkan menyemak pelekat atau kod QR dipaparkan di setiap kerusi sebelum membeli.

Penguatkuasaan tersebut amat baik untuk melindungi nyawa insan tersayang, namun persoalannya adakah dengan penggunaan CRS dalam kereta persendirian membantu mengurangkan jumlah kemalangan di jalan raya?

Bagaimana pula dengan kenderaan lain seperti bas dan sebagainya? Sebenarnya kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana anda berada. Wang ringgit boleh dicari, tetapi nyawa insan tersayang tiada galang gantinya.

* Juliana Rosdi ialah Editor Pemerolehan Berita Sinar Harian