Koronavirus dorong permintaan minyak makan Malaysia menurun di China

No Image Caption
A
A
A

KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak 2019 novel koronavirus akan mengurangkan permintaan terhadap minyak makan terutamanya di China, satu daripada pasaran eksport tertinggi bagi Malaysia, kata seorang penganalisis.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpejabat di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata kontrak niaga hadapan MSM kerugian tiga digit selepas jualan panik mengakibatkan pasaran merudum.

"MSM berkurangan 69 mata pada pembukaan pagi ini, ekoran kebimbangan ke atas penyebaran koronavirus telah menyebabkan ekuiti dan pasaran komoditi jatuh.

"Penyebaran virus menyebabkan beberapa bandar di China ditutup, perintah berkurung dan sekatan perjalanan, bermakna perbelanjaan lebih rendah, penggunaan minyak masak lebih rendah dalam industri makanan dan kelembapan aktiviti ekonomi," katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa kontrak niaga hadapan MSM mencatatkan rekod paling rendah sejak 15 November 2019.

Kebimbangan terhadap kesan daripada koronavirus mengakibatkan kepada permintaan sawit lebih rendah di China, selain daripada sekatan import oleh India, kata beliau.

Menurut laporan media, MSM mungkin merosot ke paras paling rendah dalam tempoh hampir sembilan tahun bulan ini kerana peniaga berhenti membeli minyak sawit dari Malaysia berikutan arahan tidak rasmi dari New Delhi.

Sementara itu, pedagang minyak sawit David Ng berkata harga MSM susut 10 peratus ekoran kebimbangan bahawa virus Wuhan itu mungkin menjejaskan permintaan minyak sawit, serta permintaan eksport yang lebih lemah boleh menjejaskan permintaan secara keseluruhan.

“Kami mengesan paras sokongan pada masa depan pada RM2,500 dan paras halangan pada RM2,750,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada penutupan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Februari 2020 jatuh RM291 kepada RM2,640 satu tan metrik, Mac 2020 berkurangan RM293 kepada RM2,616 satu tan metrik manakala April 2020 merosot RM287 kepada RM2,575 satu tan metrik dan Mei 2020 jatuh RM281 kepada RM2,531 satu tan metrik.

Jumlah dagangan melonjak kepada 106,842 lot daripada 22,105 lot ketika ditutup pada Jumaat manakala kepentingan terbuka naik kepada 350,926 daripada 289,977 kontrak.

Di pasaran fizikal, Februari Selatan merosot RM320 kepada RM2,700 satu tan metrik.

Pasaran MSM ditutup Isnin berikutan cuti Tahun Baharu Cina.-Bernama