Malaysia gesa siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh

Ismail Haniyeh. Foto Reuters
Ismail Haniyeh. Foto Reuters
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh dilakukan terhadap insiden pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pegawai peribadinya.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menegaskan, mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ini dan mengucapkan takziah serta menzahirkan simpati kepada ahli keluarga, serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut KLN, Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan termasuk pembunuhan yang disasarkan dan menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut.

"Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai," jelas kementerian itu.

Katanya, Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta-fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenal pasti.

"Negara ini berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmennya untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.

"Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel," kata KLN.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, KLN turut memaklumkan delegasi Malaysia termasuk Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke Teheran, Iran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Masoud Pezeshkian disahkan selamat.

Ismail, 62, yang juga bekas Perdana Menteri Palestin dibunuh dalam serangan Israel ke atas kediamannya di Teheran pada awal pagi Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!