Koronavirus: Anwar minta fokus kepada pelajar

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan kerajaan menggantung sementara kemudahan imigresen kepada warga China berikutan wabak koronavirus Wuhan dan dalam masa sama meminta semua pihak prihatin kepada pelajar sekolah berhubung penyakit itu.

Penggantungan tersebut membabitkan warga China dari wilayah Wuhan, Hubei dan daerah lain yang terkesan akibat penularan virus berkenaan yang mencetuskan kebimbangan umum.

Anwar berkata, fokus juga harus diberikan kepada pelajar yang kembali ke sekolah selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina dengan mengambil langkah awal bagi memastikan golongan pelajar terhindar daripada sebarang perkara tidak diingini.

"Saya juga ingin mengutuskan penghargaan kepada pasukan petugas kesihatan dan keselamatan yang bertungkus-lumus bekerja bagi membendung gejala koronavirus ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu mengulas keputusan Pejabat Perdana Menteri semalam yang memaklumkan bahawa kerajaan menggantung sementara kemudahan imigresen termasuk tanpa visa kepada warga China dari Bandar Wuhan, wilayah Hubei dan sekitar yang terjejas akibat koronavirus.

Kemudahan imigresen berkenaan termasuklah eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual. Keputusan yang berkuasa kuasa serta-merta itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan virus berkenaan.

Artikel Berkaitan: