UMNO Bahagian Pekan tarik balik rayuan

604954
604954
A
A
A

PUTRAJAYA - UMNO Bahagian Pekan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan permohonan kerajaan untuk memperoleh semula RM700,000 dalam akaunnya yang dibekukan kerana didakwa ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan itu, Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata, atas persetujuan pihak yang terlibat, rayuan berkenaan dibatalkan.

Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju isu yang dibangkitkan dalam rayuan akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nahra Dollah memberitahu, mahkamah bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 Februari untuk mendengar permohonan pelucuthakan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Wang lebih RM1.2 juta dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia

Sebelum itu, peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili UMNO Bahagian Pekan berkata, anak guamnya memutuskan untuk menarik balik rayuan itu setelah berbincang dengan pendakwaan.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan untuk membatalkan notis lucut hak yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan pendakwaan meminda penama dalam notis lucut hak mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

UMNO Bahagian Pekan memohon untuk membatalkan notis itu atas alasan pendakwaan telah menamakan pihak yang salah. - Bernama