RTG pacu dimensi baharu arena sukan negara
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) membuka dimensi baharu arena sukan negara apabila menubuhkan program Road To Gold (RTG) dalam usaha menamatkan penantian 68 tahun untuk meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik sejak kali pertama diperkenalkan pada 1956.
Negara mula menyertai temasya terbesar dunia itu pada tahun 1956 dan 1960 sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.
Penyertaan empat tahun kemudian di Tokyo, Jepun kontinjen negara membawa nama Malaysia menerusi penyertaan 62 atlet.
Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, RTG yang ditubuhkan pada Mac tahun lalu mempunyai misi besar menerusi proses dinamik dan bersistematik dalam usaha negara untuk meraih pingat emas pertama Olimpik.
Beliau berkata, meskipun Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mempunyai Program Podium, namun kewujudan RTG adalah bagi memberi nilai tambah buat atlet berpotensi untuk meningkatkan prestasi mereka menerusi bantuan sains sukan, sokongan psikologi, pertandingan dan latihan efektif di dalam serta luar negara.
“Menerusi RTG segala proses berkaitan dengan keperluan atlet meliputi program latihan, kejurulatihan dan proses pemulihan dapat dilakukan dengan pantas tanpa karenah birokrasi yang menyukarkan.
“Segala keperluan atlet dipenuhi sebaik mungkin untuk memastikan mereka berada pada tahap prestasi terbaik untuk bersaing dengan atlet dari seluruh dunia di pentas besar seperti Olimpik,” katanya menerusi temu bual khas bersama Traxx FM.
Sebagai rekod RTG dipengerusikan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Bagi merealisasikan emas pertama itu, kontinjen Malaysia menyandarkan harapan kepada jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta kem badminton menerusi pemenang pingat gangsa edisi Olimpik Tokyo 2020, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Malah harapan kilauan emas turut disandarkan kepada pemain perseorangan yang juga juara Terbuka Thailand, Lee Zii Jia.
Stuart menjelaskan, RTG dijalankan secara kolektif dengan pemegang taruh yang terdiri daripada MOM, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Institut Sukan Negara (ISN) selain tiga legenda sukan negara iaitu Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Mirnawan Nawawi (hoki) dan ratu skuasy, Nicol David.
“Kita harus realistik dan secara bersama perlu difahami bagaimana kita akan menjadikannya lebih baik jika tidak berjaya kali ini (Olimpik Paris). Malah perlu difahami juga bahawa RTG meliputi dua kitaran Olimpik, bukan Paris semata-mata, tetapi melangkaui sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 empat tahun lagi,” katanya.
Beliau turut mengimbas bagaimana kali pertama Malaysia meraih pingat pertama pada temasya terbesar berkenaan iaitu gangsa menerusi beregu badminton lelaki, Jalani-Razif Sidek di Barcelona pada 1992.
“Malaysia kemudian menambah koleksi pingat menerusi Chong Wei yang tiga kali meraih perak dan Azizulhasni merangkul perak di Tokyo 2020.
“Kontinjen negara juga cemerlang pada edisi di Rio de Janeiro lapan tahun lalu apabila meraih empat pingat perak dan satu gangsa. Kali ini kita berharap dapat menamatkan penantian pingat emas pertama negara,” katanya.
Stuart turut berkongsi mengenai pembaharuan yang dibawa oleh RTG iaitu menerusi inisiatif Malaysia House di Paris bagi menyediakan pelbagai kemudahan serta fasiliti selain keperluan pemakanan buat atlet negara.
“Ia melibatkan sokongan sains sukan, rawatan perubatan, perkhidmatan pemulihan dan bantuan psikologi,” katanya.
Cabaran Malaysia di Paris digalas 26 atlet meliputi 10 jenis sukan selain badminton dan berbasikal, mereka akan turut bersaing dalam akuatik menerusi terjun dan renang serta olahraga, golf, pelayaran, menembak, memanah dan angkat berat.