X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP jamin bekalan topeng muka di pasaran cukup

Saifuddin (kiri) meninjau produk makanan yang dijual di Pasaraya Bergerak yang diperkenalkan KPDNHEP selepas beliau menyampaikan Ucaptama dan Amanat 2020 di Putrajaya hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan topeng muka di pasaran negara ini mencukupi ekoran penularan wabak koronavirus.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebahagian bekalan topeng muka itu adalah produk keluaran tempatan manakala sebahagian lagi diimport dari China.

"Kami akan terus memantau bekalan topeng muka ini di pasaran, kalau bekalannya berkurangan kami akan berurusan dengan pihak pengimport atau pengeluar tempatan.

"Bekalan-bekalan topeng muka ini mendapat permintaan tinggi selepas menularnya wabak koronavirus menyebabkan harganya juga melonjak naik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Ucaptama dan Amanat 2020 kepada warga KPDNHEP di Dewan Serbaguna KPDNHEP di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau juga dihubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dua hari lalu yang meminta kementeriannya memastikan bekalan topeng muka mencukupi selain perlu memastikan topeng muka dijual pada harga di bawah harga kawalan.

"Topeng muka memang tersenarai sebagai barang kawalan jadi peniaga tidak boleh menjual lebih dari harga ditetapkan. Penguatkuasa KPDNHEP akan bertindak tegas jika ada peniaga yang terus menjual topeng muka ini pada harga melebihi harga kawalan," katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang perubahan terhadap bekalan makanan dari China di negara ini selepas berlakunya penularan wabak koronavirus.

Katanya, pihaknya juga belum menerima aduan tentang pengurangan bekalan barangan pengguna dalam pasaran ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Saringan di pintu masuk negara diperkukuh

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, pihaknya juga memantau perkembangan harga minyak mentah dunia yang turun ke paras terendah semalam susulan wabak koronavirus yang menyebabkan permintaan terhadap bahan bakar itu yang perlahan.

Katanya, kalau harga minyak terus menjunam rakyat yang menggunakan petrol RON97 akan merasai kebaikannya dan mungkin kerajaan juga boleh menyemak semula harga bagi RON95 dan sebagainya.

Semalam, media antarabangsa, Reuters melaporkan harga minyak mentah dunia turun dua peratus kepada paras terendah dalam tempoh tiga bulan ekoran angka kematian akibat koronavirus China meningkat sekali gus mengurangkan perjalanan dan mempengaruhi jangkaan permintaan minyak yang perlahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus