Pelancong cuba panjat dinding selepas dihalang masuk Malaysia

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki dipercayai pelancong asing yang cuba memanjat dinding di Lapangan Terbang Senai, di sini mengundang kecaman dalam kalangan netizen.

Aksi tersebut dirakamkan dan dikongsi oleh seorang individu menerusi akaun laman Twitter 'The Doctor' dengan memaparkan seorang individu berkemungkinan pelancong dipercayai tidak berpuas hati apabila dihalang untuk memasuki bangunan lapangan terbang itu sebelum pemeriksaan rapi dilakukan.

Menerusi video berkenaan, lelaki tersebut yang dipercayai marah terlebih dahulu bertindak mengetuk dinding gelas kaca dan kemudian dilihat cuba memanjat dinding tersebut bagi menarik perhatian pihak berkuasa yang berhampiran di situ.

Perkongsian video yang berdurasi 25 saat itu kini tular di media sosial dan setakat ini meraih 772,300 tontonan serta 18,900 ulang kicau.

Rata-rata warga maya mengutuk tindakan pelancong tersebut yang seharusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

“Aku geram sahaja tengok pelancong ini. Dasar kurang ajar. Saya harap agar kerajaan mengambil tindakan menyekat dulu pelancong Cina (China) buat sementara waktu,” tulis @EldaNaz di Twitter.

@salmahraj pula memberitahu “Memang tidak beradab dan tindakan yang kurang ajar. Cuba bersabar ikut SOP yang ditetapkan, mesti boleh lepas sebab dekat Malaysia ini kau masih dialu-alukan tak dihalau macam negara lain,”.