Pengumuman mengenai isu buli siber dibuat dalam masa terdekat - Saifuddin

Saifuddin Nasution pada sidang media selepas sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di sebuah flat pangsapuri di Sentul pada Khamis.
Saifuddin Nasution pada sidang media selepas sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di sebuah flat pangsapuri di Sentul pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Satu pengumuman berhubung isu buli siber akan dibuat dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu berkenaan juga akan dibawa dan dibincangkan bersama di peringkat mesyuarat Jemaah Menteri pada esok.

Ia susulan hasil pertemuan beliau bersama tiga kementerian dalam Mesyuarat Berkaitan Isu Buli Siber pada Rabu bagi membincangkan insiden melibatkan pempengaruh A Rajeswary, atau turut dikenali sebagai Esha pada 5 Julai.

"Kalau hanya diberi denda RM100 kemudian mereka yang terlibat itu keluar daripada mahkamah dengan senyum selamba, itu tentu menghiris perasaan keluarga mangsa.

"Kedua, isyarat apa hendak dihantar kepada rakyat kebanyakan. Jadi hal-hal ini harus diteliti.

"Saya percaya akan ada satu dua pengumuman dalam masa terdekat termasuk Jumaat ini. Tajuk ini juga akan dibincang di peringkat Jemaah Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di sebuah flat pangsapuri di Sentul.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani insiden buli siber yang berlaku ke atas mendiang Esha.

Artikel Berkaitan:

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, itu antara perkara dibincangkan menerusi Mesyuarat Berkaitan Isu Buli Siber yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau; Saifuddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital Gobind Singh pada Rabu.

Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Dalam pada itu, ujar Saifuddin, mesyuarat berkenaan turut membincangkan soal keputusan mahkamah yang mengenakan denda berjumlah RM100 kepada individu yang mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok dalam kes Esha.

"Kami berpendapat bahawa perlu ada bentuk tindakan undang-undang berasaskan pada seksyen dan akta yang lebih berat kerana mesej di luar kepada rakyat adalah kerajaan memandang serius tentang perbuatan buli siber ini.

"Ya, kita ada kekurangan dari segi peruntukan undang-undang di bawah satu akta sedia ada tetapi itu tidak boleh jadi alasan untuk pihak-pihak badan penguatkuasa ini melihat bukan dari aspek kesalahan kecil sahaja," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!