Kementerian Komunikasi, PDRM bekerjasama banteras buli siber, judi dalam talian
SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras gejala buli siber, penipuan atau judi dalam talian, pengantunan seksual dan sebagainya.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menghargai kolaborasi yang baik antara PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menyelesaikan isu terbabit.
“Media sosial boleh memberi kesan negatif secara langsung dan tidak langsung terhadap sesetengah pengguna, sehinggakan ada yang mengalami tekanan hidup dan kemurungan melampau.
“Kita semua mempunyai peranan yang perlu dimainkan untuk memastikan lanskap digital lebih selamat,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani insiden buli siber yang berlaku ke atas mendiang pempengaruh, Rajeswary Appahu.
Rajeswary atau Esha, 29, ditemui maut bunuh diri dalam rumah dipercayai tertekan akibat dibuli beberapa individu.
Kejadian tersebut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Fahmi bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah membangkitkan perkara berkenaan ketika mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat lepas.