33 penguat kuasa SPRM pantau PRK Nenggiri
KOTA BHARU - Keseluruhan 33 penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan bertugas sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos nanti.
Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, berkata, pada masa sama, satu bilik gerakan beroperasi secara 24 jam juga akan dibuka di Kota Bharu sebaik saja selepas penamaan calon pada 3 Ogos ini.
Kata beliau, bagaimanapun Pejabat SRPM Cawangan Gua Musang tetap beroperasi seperti biasa mengikut waktu pejabat bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat dan aduan berkaitan.
“Penugasan anggota dan pegawai SPRM berjalan seperti biasa tetapi akan ada tumpuan khusus terhadap PRK di Nenggiri.
“Dua anggota diselia oleh seorang pegawai kanan akan ditempatkan di Bilik Gerakan SPRM di Kota Bharu bagi menerima laporan melibatkan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ahli Politik dan SPRM Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Beliau mengulas, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 disifatkan sebagai akta ‘bermusim’ merangkumi penguatkuasaan bagi kesalahan-kesalahan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Misalnya kesalahan seperti menjamu, menjanjikan atau memberikan apa-apa barangan atau wang semasa berkempen.
“Semua itu menjadi satu kesalahan dan jika ada aduan, kami akan melakukan siasatan mengikut akta-akta yang tersedia,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!