Calon BN sah tanding PRK Nenggiri

Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju BN meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Neggiri. Gambar hiasan.
Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju BN meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Neggiri. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju Barisan Nasional (BN) meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan berlangsung Ogos ini.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang berlangsung 9 Julai lalu.

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

Jelas Asyraf, mesyuarat tersebut dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri pimpinan tertinggi BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Pimpinan kedua-dua parti, memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan.

Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal pula 13 Ogos.

PRK itu diadakan susulan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang gagal menghentikan proses PRK Nenggiri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, menolak permohonan injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan, Isnin lalu.

Pada 13 Jun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada parti.

Sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi yang bertanding tiket Pas menang majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi.

Calon BN, Ab Aziz Yusoff memperoleh 5,707 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!