Keropok beracun: Ibu reda pemergian anak sulung

Nurain (dua dari kiri) ditemani saudaranya ketika tiba di Jabatan Forensik HPP pada Rabu.
Nurain (dua dari kiri) ditemani saudaranya ketika tiba di Jabatan Forensik HPP pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Ibu kepada dua beradik yang kritikal selepas makan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus, Nurain Hasnorizal, 25, reda dengan kematian anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, yang menghembuskan nafas pada jam 8.40 pagi, Rabu.

Nurain berkata, dia tidak sanggup untuk melihat keadaan anaknya itu yang bertarung nyawa sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Isnin lalu.

Ujarnya, sebagai ibu, dia juga tidak sanggup melihat anak keduanya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang kini masih dalam keadaan koma dan dirawat di wad yang sama.

"Saya tak boleh tengok keadaan macam ni, nanti dia sorang-sorang selepas abangnya meninggal dunia. Mereka berdua memang rapat. Jika nak pergi mana-mana, kalau adik tak nak ikut, abang akan tarik tangan untuk pergi bersama-sama.

"Sekarang adik masih koma, seksa dia hidup. Kasihan sangat, tetapi saya reda," katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HPP di sini pada Rabu.

Menurut Nurain, dia masih menunggu jawapan doktor pakar mengenai keadaan anak keduanya itu.

"Saya tak pasti lagi (keadaan anak kedua), tunggu macam mana jawapan doktor," katanya.

Bercerita lanjut mengenai arwah anaknya, Nurain berkata, Muhammad Akil merupakan seorang anak yang manja dengannya.

Artikel Berkaitan:

"Perubahan ketara itu, tak ada tetapi dia memang manja.

"Sebelum ini kalau saya nak pergi kerja, dia akan nangis, tapi kali ini dia tak menangis, dia lambai sahaja. Dia cakap 'bye bye' sambil pegang adik dia," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Muhammad Akil dan adiknya Muhammad Luth dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil peket keropok yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun yang bertujuan bagi perangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!