Tiga warga China positif koronavirus masuk melalui JB

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diberi penerangan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mahesh Appannan (kanan) mengenai status terkini penularan wabak koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia selepas sidang media mengenai wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini.-fotoBERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diberi penerangan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mahesh Appannan (kanan) mengenai status terkini penularan wabak koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia selepas sidang media mengenai wabak 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini.-fotoBERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga warga China berasal dari Wuhan yang memasuki negara ini melalui Johor Bahru, kelmarin disahkan positif wabak koronavirus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka merupakan isteri dan cucu kepada lelaki berusia 66 tahun yang disahkan positif wabak berkenaan di Singapura sebelum ini.

Menurutnya, kesemua mangsa yang merupakan wanita berusia 66 tahun serta dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 2 dan 11 tahun kini dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas hasil ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mendapati mereka positif wabak berkenaan.

"Kesemua mereka terdiri daripada 10 orang daripada dua buah keluarga dilaporkan telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari lalu.

"Setibanya di sana, lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya didapati bergejala dimasukkan ke hospital dan telah disahkan Kementerian Kesihatan Singapura (KKS) bahawa mereka positif wabak itu," katanya pada sidang media khas berkenaan wabak koronavirus di National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, lapan daripada mereka yang disahkan bebas ketika menjalani pemeriksaan di Singapura itu kemudian memasuki Johor Bahru untuk meneruskan perancangan percutian mereka.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mahesh Appannan memantau perkembangan terkini penularan wabak koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini. -fotoBERNAMA
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mahesh Appannan memantau perkembangan terkini penularan wabak koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini. -fotoBERNAMA

Bagaimanapun katanya, KKM telah menerima maklumat mengenai keputusan ujian positif bagi kes pertama melibatkan lelaki berusia 66 tahun itu daripada KKS dan mereka turut memperincikan maklumat serta nombor untuk menghubungi lapan lagi keluarga tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Melalui perkongsian maklumat tersebut, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan orang terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

"Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan MKAK Sungai Buloh," katanya.

MKAK Sungai Buloh merupakan sebuah organisasi di bawah Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam, KKM yang dibina bertujuan untuk memberi perkhidmatan sokongan kepada penyiasatan wabak dan aktiviti survelan.

Dzulkefly berkata, hasil ujian pengesanan itu mendapati tiga daripada mereka positif dan dirawat dengan rapi di Hospital Sungai Buloh.

"Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 11 tahun yang juga menantu kepada wanita berusia 66 tahun yang didapati negatif turut ditempatkan di hospital bagi menjaga anak-anak mereka.

"Sementara itu, empat orang lagi yang merupakan keluarga sahabat lelaki yang kini ditahan di Hospital Singapura yang didapati negatif wabak itu telah pulang ke negara asal mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut memberitahu bahawa pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di lapangan telah diaktifkan serta-merta bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

Katanya, semua anggota kesihatan turut diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

"Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya," katanya.