Tiada campur tangan politik dalam urusan jual beli THP: Mujahid

Mujahid (tengah). Foto: Bernama
Mujahid (tengah). Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof memberi sepenuh kepercayaan kepada pengurusan Tabung Haji Haji Plantation (THP) untuk menjalankan urusan jual beli tanah mereka tanpa sebarang campur tangan politik.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menegaskan bahawa Tabung Haji (TH) hanya memiliki 72 peratus saham dalam THP berkenaan.

Penjelasan itu dibuat Mujahid melalui satu kenyataan media bagi menjawab isu yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Sebagai makluman semua pihak sejak saya diamanahkan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), saya memberi sepenuh kepercayaan kepada agensi-agensi untuk menjalankan urusan mereka tanpa campur tangan politik.

"Perkara sama saya lakukan terhadap THP. TH hanya memiliki 72 peratus saham dalam THP dan saya langsung tidak mencampuri sebarang urusan jual beli melibatkan THP.

"Ini kerana, saya berkeyakinan tinggi bahawa pihak pengurusan THP yang baru dapat menyelamatkan syarikat ini daripada terus mengalami kerugian," katanya.

Mujahid berkata, sebarang transaksi jual beli merupakan perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana syarikat perniagaan.

"Saya berasa hairan dengan dua individu berkenaan yang membangkitkan isu jual beli tanah yang melibatkan THP sedangkan persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa mereka membeli tanah-tanah ini dulu sehingga tanah ini terpaksa dijual dan THP mengalami kerugian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, dalam perkembangan sama, beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh jika ada penyelewengan dalam dalam urusan jual beli tanah THP untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Saya mengalu-alukan sebarang laporan dibuat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Jual ladang THP: Pemuda UMNO desak Mujahid beri penjelasan

TH Plantations jual aset untuk kukuhkan kewangan