X

Kindly register in order to view this article
!

Jual ladang THP: Pemuda UMNO desak Mujahid beri penjelasan

Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyatakan pendirian berhubung keputusan Lembaga Pengarah Tabung Haji Plantation (THP) untuk menjual 14 anak syarikat yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 76,975 hektar selepas seminggu ia dibangkitkan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Pengarah THP tetapi di bawah Akta Tabung Haji, Mujahid bertanggungjawab ke atas 9.4 juta pendeposit Tabung Haji (TH).

"Isu bermula apabila Lembaga Pengarah THP iaitu anak syarikat penuh TH membuat keputusan pada 26 November 2018, 27 Februari 2019 dan 1 Ogos 2019 untuk menjual 14 anak syarikat miliknya yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 76,975 hektar bersamaan 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan yang dimiliki syarikat itu.

"Keseluruhan dimiliki THP ialah 110,000 hektar. Kalau melihat kepada keputusan ini THP hanya memiliki baki 33,025 hentar ladang sawit sahaja.

"Pada 5 Disember tahun lalu, THP telah membuat pengumuman di Bursa Malaysia bahawa mereka telah menandatangani perjanjian penjualan saham bersama Tamaco Pantation Sdn Bhd (Tamaco) untuk melupuskan pegangan dalam dua anak syarikat penuh iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MW) yang memiliki tanah perladangan seluas 6,514 hektar dengan harga RM170 juta secara tunai," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pemuda UMNO di sini hari ini.

Menurutnya, Tamaco merupakan sebuah syarikat perladangan swasta yang berpangkalan di Lahad Datu dan timbul persoalan mengapakah THP tergesa-gesa menjual ladang yang berdaya maju dan mengeluarkan hasil yang baik.

"Ladang tersebut baharu berusia lima hingga 11 tahun dan umum mengetahui pada usia tersebut, hasil minyak sawitnya bagus. Apa tujuan ambil keputusan menjualnya?" soalnya.

TH Plantation Berhad
TH Plantation Berhad

Beliau turut menimbulkan persoalan apakah bakal berlaku kepada operasi THP jika 76.2 peratus ladang milik mereka dijual.

"Kita nak tahu siapa bersungguh-sungguh jual kepada Tamaco?

"THP berikan alasan melaksana penjualan kerana sebahagian daripada program rasionalisasi kewangan syarikat itu yang lemah kerana tersepit dengan bebanan hutang," katanya.

Asyraf berkata, majoriti beban hutang THP sebanyak RM1.2 bilion itu sebenarnya dibiayai oleh TH sendiri.

"Sebanyak RM1 bilion hutang THP diterbitkan dalam bentuk sukuk dan dibiayai oleh TH. Maknanya mereka bukan berhutang dengan orang lain.

"Kalau dikatakan hutang menjadi alasan mereka menjual tanah bernilai dan berdaya maju, kita nak tanya kenapa tidak dilaksanakan mengikut kelaziman kerajaan lepas kalau ada mana-mana syarikat yang mempunyai kepentingan awam, kerajaan ambil tanggungjawab membantu.

"Dalam konteks ini TH tidak akan umumkan THP bankrap kerana syarikat itu berhutang dengan mereka. Kalau TH bagi alasan tidak ada duit sebenarnya nilai tabungan TH ada RM70 bilion. RM1 bilion hutang diberikan kepada THP tidak berikan kesan kepada operasi TH," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: TH Plantations jual aset untuk kukuhkan kewangan

Mengulas lanjut beliau turut mempersoalkan mengapa ladang milik THP dijual kepada syarikat swasta seperti Tamaco dengan penilaian baharu.

"Pada 2017 nilai buku dua syarikat memiliki ladang mencecah RM380 juta tetapi apabila ditukar jurunilai baharu penilai dibuat RM170 juta. Apa asas andaian penilaian itu dibuat?

"Kita juga nak tanya adakah penjualan ini mempunyai kaitan dengan hasrat menjadikan TH hanya untuk menguruskan jemaah haji sahaja seperti yang pernah disuarakan individu tertentu sebelum ini," katanya.

Justeru beliau mendesak TBP menghentikan penjualan baki 11 lagi anak syarikatnya seperti yang diluluskan oleh lembaga pengarahnya.

"Kami juga sedang meneliti untuk memfailkan tindakan injunksi di mahkamah oleh pihak pendeposit TH.

"Kami juga sedang meneliti untuk memfailkan tindakan injunksi di mahkamah oleh pihak pendeposit TH.

"Kami juga akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dengan segera tindakan penukaran jurunilai, kaedah nilaian yang menghilangkan RM210 juta dan proses penjualan kepada Tamaco," tegasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!