X

Kindly register in order to view this article
!

Tapak Pelupusan Sampah Semeling masih terbakar

Gambar yang diambil di Kampung Kurnia Jaya jelas kelihatan kepulan asap hitam semalam.
A
A

SUNGAI PETANI - Penduduk berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Semeling bimbang terhadap risiko kesihatan mereka berikutan kawasan itu yang terbakar lima hari lalu masih mengeluarkan asap tebal yang berbau busuk.

Ramli Mohamad, 53, dari Taman Universiti berkata, mungkin terdapat longgokan sampah yang terbakar semula menyebabkan kepulan asap terhasil dari kawasan kebakaran yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dengan taman perumahan itu.

"Sudah hari kelima kawasan itu terbakar tetapi asap masih banyak kelihatan dan merebak dibawa angin hingga ke beberapa kampung serta kawasan perumahan, masjid, universiti yang ada di sini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Affendi Abdullah, 38, berkata, kepulan asap tebal serta berbau busuk itu menyebabkan dia mula risau terhadap keadaan kesihatan ahli keluarganya dan penduduk berhampiran terutama kanak-kanak dan warga emas.

"Buat masa sekarang memang tiada lagi rungutan penduduk yang mengalami sesak nafas, muntah, selesema atau demam teruk tetapi keadaan kebakaran yang dilihat berlarutan ini menimbulkan kebimbangan jika ia semakin teruk," katanya.

Foto yang dikirim penduduk menunjukkan keadaan api masih merebak sejak semalam berikutan cuaca berangin.
Foto yang dikirim penduduk menunjukkan keadaan api masih merebak sejak semalam berikutan cuaca berangin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya sudah bertungkus-lumus memadam kebakaran timbunan sampah itu sejak menerima laporan pada 20 Januari lalu.

"Anggaran keluasan kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut adalah 55.7 meter persegi dari jumlah keluasan tapak pelupusan sampah tersebut yang dianggarkan seluas empat hektar. Api pula merebak melalui longgokan sampah kerana keadaan yang berangin dan kering," katanya.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar Kedah, Simon Ooi Tze Min berkata, Jabatan Alam Sekitar Cawangan Sungai Petani telah menjalankan pemantauan udara bagi memantau kualiti udara di kawasan perumahan yang dipercayai terjejas.

Menurutnya, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Stesen Pengawasan Udara Automatik Sungai Petani sejak 20 Januari sehingga semalam berada pada tahap sederhana antara bacaan 47 hingga 55.

"Nilai IPU bawah 50 adalah baik manakala tahap bacaan antara 51-100 dikategorikan sebagai sederhana," katanya.

Pekarangan sebuah masjid yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kebakaran menunjukkan udara dipenuhi asap semalam.
Pekarangan sebuah masjid yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kebakaran menunjukkan udara dipenuhi asap semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus