Koronavirus: Bekalan topeng muka di Asia habis stok

Pekerja membungkus topeng muka di sebuah kilang di Handan, China. - Foto Agensi
Pekerja membungkus topeng muka di sebuah kilang di Handan, China. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Topeng muka dan pencuci tangan (hand sanitiser) kini menjadi aksesori 'wajib' dari Hong Kong hingga ke Jepun susulan penularan koronavirus.

Permintaan tinggi itu menyebabkan farmasi di seluruh Hong Kong yang menjual topeng muka kehabisan stok dan memaksa pihak berkuasa mendapatkan lebih banyak item tersebut secepat mungkin.

"Kami sedar terdapat pembelian terdesak di pasaran. Beberapa kumpulan topeng muka baharu akan tiba minggu depan," kata pegawai kedua tertinggi wilayah itu, Matthew Cheung.

Majlis Pengguna Hong Kong turut menasihati penjual supaya tidak menaikkan harga topeng muka ke tahap keterlaluan.

Sementara Taiwan pula melarang eksport topeng untuk bulan depan bagi memastikan bekalan domestik mencukupi.

Di Macau, pihak berkuasanya berkata, penjualan akan dihadkan maksimum 10 topeng muka kepada penduduk atau pekerja tamu yang boleh mengemukakan kad ID yang sah.

Bagi kilang di Jepun yang membekalkan barangan penjagaan peribadi kepada syarikat Unicharm Corp, pihaknya telah bekerja tanpa henti sejak 17 Januari lalu selepas pesanan meningkat 10 kali ganda.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Angka kematian di China meningkat kepada 25

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mencuci tangan, menutup wajah dan mengelakkan berada di tempat awam menjadi garis pertahanan utama bagi mengelakkan jangkitan.

Setakat ini, ancaman koronavirus telah mencatatkan 830 kes jangkitan dan 26 kematian membabitkan Singapura, Vietnam, Jepun, Thailand, Taiwan, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, China hari ini mengumumkan penutupan beberapa bahagian Tembok Besar dan mercu tanda Beijing yang lain untuk mengawal penularan virus berbahaya.

Pelbagai sambutan perayaan Tahun Baru Cina juga dibatalkan dalam usaha mengekang wabak manakala Kota Larangan (Forbidden City) dan Disneyland Shanghai turut ditutup buat sementara waktu. - Agensi